Projek bioflok ikan talapia berpotensi jadi model ekonomi komuniti – Ketua Menteri

Admin
e33baf07 c8d7 47dd 8440 a0c61ed84e10

SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Projek Ternakan Ikan Tilapia Sistem Bioflok oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bandar Perda membuktikan keupayaan komuniti dalam menjana ekonomi setempat melalui pendekatan moden dan berstruktur.

Menurut beliau, inisiatif berasaskan komuniti seperti ini wajar diberi sokongan kerana mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dari akar umbi.

“Projek berkaitan menunjukkan bagaimana komuniti boleh bergerak secara tersusun dalam menjana ekonomi setempat melalui kaedah yang lebih moden dan sistematik.

“Pada peringkat awal, projek tersebut yang dimulakan dengan pelaburan awal sebanyak RM50,000 serta enam tangki ternakan yang sedang beroperasi, menunjukkan komitmen tinggi komuniti dalam menjayakan inisiatif berkenaan.

“Hasilnya, projek tersebut dijangka menghasilkan kira-kira 2.8 tan ikan tilapia dalam tempoh dua hingga tiga bulan bagi fasa pertama kelak,” katanya ketika sesi sidang media bersempena Siri Jelajah Ketua Menteri ke Parlimen Permatang Pauh – Projek Ternakan Ikan Tilapia Sistem Bioflok di sini pada 17 Jun 2026.

2584bae9 63f0 433d b4ef f21d975cf659 811ad504 32fc 4cd8 8b71 2b995cb13812 4fd7a512 1538 4fd1 b70b add670c9fff9 916379d8 4b5c 439d 8288 a9c7303cc569 de8d8f85 0c41 4f26 99e4 16288cb310cf
Turut hadir, Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik; Pengerusi MPKK Bandar Perda, Megat Khairulnizam Megat Jaafar serta Pegawai Penyelaras Kadun (PPK) Seberang Jaya, Fayyadh Afiq Albakqry.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut menyambut baik cadangan menjadikan projek berkenaan sebagai model kepada MPKK lain, namun menegaskan kejayaan fasa pertama perlu dibuktikan terlebih dahulu sebelum diperluaskan.

“Kita boleh jadikan ini sebagai projek contoh, tetapi kejayaan fasa pertama amat penting sebelum ia diperluaskan.

“Justeru, Kerajaan Negeri akan terus menyokong inisiatif komuniti yang berpotensi meningkatkan pendapatan serta memperkukuh ekonomi setempat secara mampan,” ujarnya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Sementara itu, Megat Khairulnizam turut menyatakan bahawa inisiatif tersebut telah lama dibincangkan sebelum direalisasikan dengan cetusan idea dan bimbingan, selain sokongan teknikal daripada pelbagai pihak.

“Projek ini merupakan hasil perbincangan lama dan dibantu banyak pihak termasuk Jabatan Perikanan dan pakar teknikal dari Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

“Penggunaan teknologi bioflok banyak membantu mengurangkan beban kerja serta meningkatkan kecekapan operasi, termasuk menghapuskan keperluan aktiviti seperti menyauk atau memukat, selain mengurangkan bau dan menjimatkan kos dedak.

“Malah, kita juga cuba gabungkan dedak dengan makanan semula jadi seperti kangkung serta ubi kayu supaya hasil ikan lebih berkualiti,” jelasnya lanjut.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : LAW SUUN TING

Video : SIEW CHIA EN