SEBERANG JAYA – Projek Penyuraian Trafik Plaza Tol Juru–Sungai Dua (PTJSD) terus diberi perhatian sebagai antara inisiatif penting bagi mengurangkan kesesakan di laluan utama Lebuhraya Utara–Selatan yang semakin mencabar terutama di kawasan lintasan dan jajaran sibuk.
PTJSD kini sedang giat dilaksanakan di lapangan dengan kerja fizikal bagi Pakej 1 sejak Oktober tahun lalu, sekali gus menandakan fasa penting dalam usaha jangka panjang mengurangkan kesesakan di laluan utama lebuh raya utara–selatan di negeri ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada sesi lawatan tidak rasmi sebentar tadi turut menyatakan bahawa pelaksanaan projek berkaitan perlu dipercepatkan bagi memastikan objektif utama iaitu pemisahan trafik antara pengguna lebuh raya dan (pengguna) trafik tempatan dapat dicapai dengan lebih berkesan.
“Keadaan semasa di laluan Utara-Selatan semakin kompleks dengan peningkatan aliran kenderaan serta cabaran di beberapa kawasan lintasan, sekali gus menuntut penyelesaian infrastruktur yang lebih tersusun dan menyeluruh.
“Adalah diharapkan pelaksanaan dapat dipercepatkan supaya trafik pengguna lebuh raya dan pengguna jalan raya tempatan dapat dipisahkan,” katanya di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut menekankan bahawa pemisahan aliran trafik ini dijangka memberi kesan langsung dalam melancarkan pergerakan kenderaan di lebuh raya utama, selain mengurangkan kesesakan yang sering berlaku pada waktu puncak.
Difahamkan, Projek PTJSD merupakan sebahagian daripada inisiatif penyuraian trafik strategik di kawasan Utara-Selatan, dijangka memberi impak besar dalam memisahkan aliran trafik lebuh raya utama dengan trafik tempatan, sekali gus melancarkan pergerakan kenderaan terutama pada waktu puncak.
Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik dan Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Permatang Pasir, Muhammad Hamdi Md. Noor antara yang mengikut sesi lawatan tidak rasmi tersebut.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar & Video : ALISSALA THIAN & YAP LEE YING