Projek CLQ Juru masih di peringkal awal, belum ada permohonan rasmi diterima, respons Ketua Menteri

Admin
7f2804d6 e919 4d5b 893c 50607751ec41 KETUA Menteri (berdiri, depan) turut menyampaikan pendapat berhubung cadangan pembinaan Asrama Pekerja Berpusat (CLQ) dekat Kampung Sekolah, Juru, dalam sesi perbincangan kumpulan berfokus (FGD) yang berlangsung secara tertutup sebenta tadi di sini.

BUKIT TENGAH – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa cadangan pembinaan Asrama Pekerja Berpusat (CLQ) dengan kapasiti penghuni sehingga 20,000 orang di Kampung Sekolah, Juru, ketika ini masih berada pada peringkat awal kajian berkaitan serta belum dikemukakan permohonan untuk proses berwajib daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Mengulas lanjut, beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menjelaskan bahawa sesi perbincangan kumpulan berfokus (FGD) yang diadakan pada hari ini antara lain bertujuan untuk mendengar pembentangan daripada pihak perunding lantikan serta mengumpul maklum balas daripada pelbagai pemegang taruh yang terkesan termasuk penduduk lokal di kawasan kampung dan taman perumahan berhampiran projek tersebut.

“Kita hadir untuk mendengar pembentangan daripada perunding dan juga maklum balas daripada pemegang taruh.

“Saya berharap pihak perunding dapat merekodkan semua pandangan penduduk untuk dimasukkan ke dalam Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA),” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dalam sesi perbincangan tertutup di sini pada 11 April 2026.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye yang juga ADUN Jawi; ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung; Pengasas Hunza Properties, Dato’ Seri Khor Teng Tong dan wakil juru perunding bebas projek CLQ Juru, TPr. Mohammed Shaari Mohamed Suhaimi turut sertai sesi FGD tersebut.

Ditanya lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa projek CLQ tersebut belum sampai ke peringkat penyerahan Kebenaran Merancang kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk pertimbangan kelulusan permohonan lanjut.

“Pihak pemaju sedang dalam proses menyiapkan pelbagai kajian teknikal termasuk Penilaian Impak Trafik (TIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA),” ujarnya lanjut.

Sehubungan itu, Kon Yeow menjelaskan bahawa proses pengumpulan maklum balas daripada para pemegang taruh termasuk penduduk lokal adalah prosedur normal dalam fasa awal perancangan sesuatu projek pembangunan.

Sebelum itu, beliau bersama-sama barisan pemimpin Kerajaan Negeri dan wakil komuniti lokal lain mengikut sesi perbincangan dua hala yang dikendalikan oleh Mohammed Shaari.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT