GEORGE TOWN – Projek Hab Logistik Udara Pulau Pinang atau Penang International Logistics Aeropark (PILA) telah berjaya mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) melalui surat bertarikh 7 Jun 2024.
Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata semua kelulusan teknikal yang diperlukan termasuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Penilaian Impak Trafik (TIA), Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Pelan Kebenaran Merancang (PKM) juga telah diluluskan dengan pindaan pada 19 Ogos 2025.
“Justeru, tender bagi kerja tanah untuk keseluruhan projek PILA kini pada peringkat penilaian dan dijangka dimulakan pada awal tahun 2026,” katanya ketika sesi Soalan Lisan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 dekat sini sebentar tadi.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun Goh Choon Aik.
Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu bahawa projek PILA dibangunkan di atas tanah milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di Bayan Lepas dan bersebelahan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Lulau Pinang (LTAPP) seluas 79.32 ekar.
Bagi menjayakan projek tersebut, Jagdeep memaklumkan bahawa PDC dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 10 Januari tahun ini untuk pelaksanaan Tier 1.
“Tier 1 adalah melibatkan pembangunan gudang terminal kargo yang terletak berhadapan dengan apron lapangan terbang.
“Sementara itu, Tier 2 dan Tier 3 pula melibatkan gudang sokongan yang akan dibangunkan oleh PDC bagi melengkapkan PILA sebagai hab logistik bersepadu.
“Anggaran kos pembangunan projek ini sedang dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak, dengan proses kejuruteraan nilai sedang dijalankan bagi memastikan kos pembangunan yang optimum” jelasnya yang juga ADUN Datok Keramat.
Jagdeep berkata, syarikat FedEx dan DHL antara dua pemain utama dalam industri logistik udara antarabangsa yang telah menyatakan minat dan komitmen untuk menjadi sebahagian daripada pembangunan projek PILA.
“Bagi memperkukuh komitmen tersebut, PDC bersama FedEx dan DHL telah mengadakan majlis pertukaran MoU pada 24 September 2025 sempena Expo OSAKA 2025 di Jepun.
“Secara keseluruhannya, pemeteraian MoU ini mencerminkan keyakinan syarikat logistik global terhadap potensi PILA sebagai projek strategik yang akan memperkukuh ekosistem logistik udara dan perdagangan antarabangsa Pulau Pinang, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negeri secara menyeluruh,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN