GEORGE TOWN – Projek Jalan Pintasan dari Bandar Baharu Ayer Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu (Pakej 2) mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 93.19 peratus setakat 30 September 2026 dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2027.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, projek berkenaan merupakan satu-satunya daripada empat komponen projek jalan utama dan Laluan Ketiga Pulau Pinang di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang kini berada dalam peringkat pelaksanaan.
Menurut beliau, baki kerja yang perlu diselesaikan termasuk pemasangan parapet, penghadang jalan jenis New Jersey Barrier (NJB), lampu jalan, lampu isyarat, papan tanda, turapan premix serta sambungan pengembangan (expansion joint).
“Projek ini akan dibuka kepada pengguna jalan raya selepas kerja-kerja pengujian dan pentauliahan selesai dilaksanakan serta Audit Keselamatan Jalan (RSA) memperoleh kelulusan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Kelima Belas di sini hari ini.
Mengulas aspek kewangan, Zairil berkata, nilai tuntutan kerja bagi Pakej 2 yang telah diperakukan sehingga 12 Ogos 2026 berjumlah RM695.98 juta, bersamaan 81.69 peratus daripada harga kontrak semasa sebanyak RM851.97 juta.
“Projek berkenaan menggunakan kaedah kontrak Reka dan Bina (Design and Build) yang diubah suai, dengan pembayaran dibuat secara bukan tunai menerusi kaedah pertukaran tanah (land swap) secara berperingkat, selaras dengan kemajuan kerja.
“Sebagai makluman, sehingga 20 Disember 2024, pemindahan tanah Kerajaan seluas 11.6183 ekar kepada kontraktor melibatkan nilai kerja berjumlah RM427.66 juta.
“Berdasarkan harga kontrak semasa, baki nilai kemajuan kerja yang belum dijelaskan adalah sebanyak RM231.34 juta,” ujarnya.
Sementara itu, jelas Zairil lagi, bagi Pakej 1 yang membabitkan cadangan North Coastal Paired Road (NCPR) dari Tanjong Bungah ke Teluk Bahang, Kerajaan Negeri masih meneliti semula sebahagian jajaran projek dengan mengambil kira kesesuaian teknikal, sensitiviti kawasan setempat, kepadatan penduduk serta risiko hakisan tanah.
Menurut Zairil, terma-terma perjanjian tambahan (Sub-Agreement) juga sedang dimuktamadkan, manakala Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi sebahagian jajaran baharu sedang dijalankan.
“Bagi Pakej 3, iaitu cadangan pembinaan jaringan lebuh raya dari Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, projek berkenaan masih dalam kajian semula Kerajaan Negeri sebelum sebarang keputusan mengenai hala tuju dan pelaksanaannya dibuat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Zairil berkata, cadangan Pakej 4 yang melibatkan Laluan Ketiga Pulau Pinang (Penang Third Link) kini melalui penelitian daya maju menerusi kajian penjajaran semula serta penilaian pilihan reka bentuk jambatan sebagai alternatif kepada cadangan terowong dasar laut sebelum ini.
“Kerajaan Negeri telah meluluskan pelaksanaan kajian penjajaran semula menggunakan konsep reka bentuk jambatan dengan mengambil kira perancangan pembesaran Pelabuhan Pulau Pinang serta keperluan mengurangkan kesesakan trafik di kawasan Gurney Bay dan sekitarnya.
“Cadangan penjajaran semula itu melibatkan peralihan laluan ke arah utara bagi memastikan kesesuaian dengan perancangan pembesaran pelabuhan, selain mengelakkan gangguan terhadap operasi pelabuhan dan laluan navigasi kapal.
“Pada masa ini, kajian reka bentuk konsep sedang dilaksanakan sebelum hasilnya dibentangkan kepada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) untuk mendapatkan maklum balas dan pertimbangan lanjut,” jelas ADUN Tanjong Bunga itu.
Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: SIEW CHIA EN