Projek kendalian CMI terima pelaburan swasta, tidak libatkan kos Kerajaan Negeri

Admin
chow kon yeow KETUA Menteri semasa sesi penggulungan Exco sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 28 November 2024.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa beberapa projek yang dikendalikan Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) sebenarnya dilaksanakan dengan pelaburan daripada pihak swasta secara Perkongsian Awam Swasta (PPP) serta tidak melibatkan kos Kerajaan Negeri.

Ini antaranya, Kota Cornwallis, projek Perumahan Sandiland Foreshore, projek Perumahan Hamna, projek Hotel Crag, projek Titian Silara Bukit Bendera (Habitat) dan Perpustakaan Digital serta pengoperasian Wisma Yeap Chor Ee.

Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi itu berkata bahawa Kerajaan Negeri hanya menerima hasil daripada setiap projek PPP tersebut melalui penjualan, pajakan atau sewaan tanah mengikut skala projek.

“Sebagai makluman, maksud kos projek adalah (kos) yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri bagi projek di bawah Vot Pembangunan.

“Manakala, pelaburan bermaksud projek yang dilaksanakan oleh pihak swasta secara ‘joint venture’ atau PPP yang tidak melibatkan kos Kerajaan Negeri,” jelasnya semasa sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 28 November 2024.

Penjelasan itu sekali gus menjawab kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang yang menyatakan dalam semua projek kendalian CMI itu membawa pulangan hasil kurang lumayan berbanding kos pelaburan projek.

Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota turut menjelaskan bahawa sejak tahun 2013 hingga Oktober tahun ini menyaksikan CMI menjana hasil berjumlah RM195 juta melalui penjualan, pajakan dan sewaan tanah.

Tambah beliau, jumlah pelaburan pihak swasta bagi tempoh sama sehingga tahun 2024 berjumlah RM2.085 bilion dengan anggaran pulangan hasil dalam jangka masa panjang kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri berkenaan kira-kira RM289.88 juta.

“Kerajaan Negeri melalui CMI telah mula menjana hasil dari tanah-tanah Kerajaan Negeri yang terbiar melalui pelawaan Request for Proposal (RFP), sewaan jangka pendek dan pajakan jangka panjang.

“Ini, merupakan ‘passive income’ kepada Kerajaan Negeri memandangkan tidak melibatkan apa-apa kos dari Kerajaan Negeri tetapi terdapat pulangan hasil,” ujarnya sambil memberitahu bahawa semua hasil yang dijana oleh CMI disalurkan kepada Kerajaan Negeri.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI