Projek khas WCC, perkasakan hak wanita Islam

GEORGE TOWN – Pusat Kesedaran Wanita atau Women’s Centre for Change (WCC) dengan kerjasama Canada Fund for Local Initiatives (CFLI) telah mengambil inisiatif untuk melancarkan projek khas bagi meningkatkan kesedaran wanita-wanita Islam mengenai hak mereka dalam perkahwinan dan keluarga.

Pengarah Program, Karen Lai Yu Lee menerusi kenyataan yang dikeluarkan berkata bahawa objektif projek khas tersebut adalah untuk meningkatkan kesedaran wanita Islam berkenaan hak-hak mereka sebagai seorang isteri, peranan suami dan isteri dalam keluarga menurut tuntutan syariat Islam yang sebenar serta mendedahkan mereka berkenaan hak untuk mereka mendapatkan perlindungan yang terkandung di dalam Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
KAREN Lai Yu Lee.
Selain mengadakan webinar dan dialog bersama agensi-agensi berkepentingan seperti Mahkamah Syariah, pejabat agama dan masyarakat umum, projek khas ini turut menghasilkan empat video pendek.
“(Video-video ini)  berkisarkan tentang hak-hak dan keistimewaan wanita Islam di dalam keluarga mengikut syariat, falsafah dan fiqh ajaran Islam serta bagaimana mendapatkan bantuan jika berlakunya keganasan dalam keluarga dan rumah tangga,” ujarnya.
Difahamkan antara tokoh yang terlibat di dalam pembikinan video-video ini ialah Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Haji Wan Salim Wan Mohd. Noor;  Hakim Mahkamah Rayuan di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), YAA Dato’ Muhamad Shakir Bin Abdul Hamid serta Peguam Syarie, Yuslinov Ahmad dan Ahmad Munawir Abdul Aziz.
Menurut Yu Lee, wanita akar umbi yang pernah mengalami keganasan rumah tangga turut ditemu bual yang mana pengalaman mereka akan dikongsi dalam video ke-empat untuk meningkatkan kesedaran umum tentang isu ini.
Tiga daripada video tersebut boleh diakses menerusi link laman Facebook WCC manakala video ke-empat masih lagi dalam produksi dan akan ditayangkan dalam masa terdekat ini.
“Bagi pihak WCC, kami berharap agar video-video ini dapat dihebahkan bagi membantu muslimin dan muslimat di seluruh Malaysia untuk memahami hak dan peranan mereka mengikut syariat dan syiar Islam yang sebenar, terutamanya dalam usaha berterusan bagi memperkasakan hak wanita Islam, di dalam kerangka sistem perundangan syariah Islam di Malaysia,” katanya.

Berikut adalah pautan video melalui projek khas WCC dan CFLI: –

Video #1: Membina Istana Idaman

FB: https://www.facebook.com/wccpenang/videos/586173725717466/

Video #2: Ta’liq

FB: https://www.facebook.com/watch/?v=278501860409285