Projek luar Tapak Warisan Dunia UNESCO masih perlu kelulusan PBT, ulas Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN- Ketua Menteri, Y.A.B. Chow Kon Yeow menegaskan bahawa pihak pemaju yang ingin memajukan tanah atau bangunan status warisan adalah perlu mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) walaupun ia terletak di luar Tapak Warisan Dunia UNESCO.

 

 

Menurut beliau, perkara tersebut merupakan satu cabaran kepada Kerajaan Negeri dan PBT berikutan persepsi pihak tertentu yang menganggap bangunan warisan yang terletak di luar Tapak Warisan Dunia UNESCO adalah berstatus sama.

 

 

Ekoran itu, kata Kon Yeow, difahamkan terdapat aktivis mengemukakan surat aduan kepada Jabatan Warisan Negara, UNESCO serta badan-badan yang manjaga status warisan dunia berkenaan hal berkaitan.

 

 

“Memang ada garis panduan mengawal bangunan seperti ini (luar tapak warisan), di pulau atau Seberang Perai… khususnya kepada pemaju, jangan sesekali meletakkan undang-undang di tangan sendiri.

 

 

“Mula roboh, mula buat sesuatu tanpa apa-apa kelulusan, kalau ingin majukan tanah khususnya di tanah dan tapak warisan, dapatkan konsultan untuk khidmat nasihat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi garis panduan sebelum memulakan sebarang kerja, jangan mula selagi tidak mendapat kelulusan, itulah perkara yang hakiki yang perlu dipatuhi,” jelasnya pada Majlis Perasmian Bangunan Dewan Bandaran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Padang Kota di sini sebentar tadi.

 

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa Jagdeep Singh Deo; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran.

 

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa sekiranya semua pihak dapat memenuhi tanggungjawab hakiki tersebut maka kejadian-kejadian yang berlaku dalam beberapa bulan ini dapat dielakkan.

 

 

“Perkara itu perlu ditangani oleh George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) dan Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang khasnya mengenai bangunan-bangunan yang dinyatakan dalam surat aduan (aktivis) sebelum ini.

 

 

 

“Kita tahu hakikatnya banyak bangunan Kategori Satu atau Dua di luar Tapak Warisan Dunia UNESCO, mungkin sama bentuk atau lebih canggih daripada di tapak warisan, tetapi mengapa tidak mendapat status sama?

 

 

“Persoalan itu perlu kembali kepada sejarah kerana pada sesi perbincangan terdahulu, masing-masing ada kemukakan tuntutan, tetapi akhirnya satu kata sepakat dicapai untuk kita mohon Tapak Warisan Dunia UNESCO yang mana bangunan di luar tapak warisan adalah dianggap berlainan status, ujar Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap ADUN Padang Kota berkaitan.

 

Dalam pada itu, Tung Seang memberitahu, MBPP membelanjakan RM8 juta bagi memulihara bangunan yang turut dinamakan sebagai ‘Town Hall’ itu.

 

 

“Antara kerja-kerja baik pulih terlibat adalah membaiki kebocoran bumbung, kerja-kerja pendawaian elektrik, menukar tingkap yang reput serta menyediakan kemudahan bagi golongan orang kurang upaya (OKU).

 

 

“Kerja-kerja ini telah dimulakan sejak Jun 2020 dan siap sepenuhnya pada Ogos 2022 serta menjadi bangunan warisan Kategori Satu pertama mendapat status Index Bangunan Hijau (GBI),” ulasnya sambil menyatakan Dewan Bandaran juga sedia untuk disewa bagi kegunaan acara kesenian dan kebudayaan.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI