Projek naik taraf Kompleks Kolam Renang Awam, Seberang Jaya mula April ini

Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan dan Perjanjian Sub-Pajakan Kompleks Kolam Renang Awam, Seberang Jaya di antara MBSP, Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang dan Syarikat D Swim Academy Sdn. Bhd. dekat sini sebentar tadi.

GEORGE TOWN – Kerja-kerja menaik taraf Kompleks Kolam Renang Awam, Seberang Jaya bakal bermula pada April ini dan dijangka mengambil masa lapan hingga 12 bulan untuk disiapkan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa kos bagi kerja menaik taraf kemudahan awam tersebut adalah sebanyak RM3 juta yang akan dibiayai sepenuhnya oleh Syarikat D Swim Academy Sdn. Bhd. sebagai pihak pelaksana projek.

“Kerja-kerja penaiktarafan adalah membabitkan pembinaan bumbung, pemasangan pam baharu, penaiktarafan kemudahan sedia ada seperti surau dan tandas, pembinaan kaunter tiket, kafeteria, kedai peralatan sukan serta astaka.

“Untuk makluman, projek menaik taraf, mengurus dan menyelenggara kompleks ini dibuat melalui Request for Proposal (RFP) dan tidak melibatkan peruntukan daripada Kerajaan Negeri,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan dan Perjanjian Sub-Pajakan Kompleks Kolam Renang Awam, Seberang Jaya dekat sini sebentar tadi.

Syarikat D Swim Academy Sdn. Bhd. diberikan tanggungjawab sebagai pelaksana projek penaiktarafan Kompleks Kolam Renang Awam Seberang Jaya.

Kedua-dua perjanjian itu ditandatangani di antara tiga pihak yang terdiri daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang serta Syarikat D Swim Academy Sdn. Bhd..

Turut hadir, Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Norazmi Mohd. Nawawi; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad; Ahli Majlis bagi MBSP, P. David Marshel; Ketua Pengarah Eksekutif Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang, Zul Kahar Khamis serta Pengarah Eksekutif Syarikat D Swim Academy Sdn. Bhd., Cyrena Yong.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata bahawa pemeteraian kedua-dua perjanjian tersebut memberikan gambaran yang lebih jelas berhubung pengurusan dan pemilikan bagi projek berkaitan.

“Melalui perjanjian itu, MBSP sebagai pemilik hartanah akan memajak kepada Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang bagi mengurus serta mengoperasikan kompleks renang berkaitan secara berterusan mengikut piawaian ditetapkan.

“Seterusnya, pihak Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang dibenarkan memajak hartanah Kompleks Kolam Renang Awa mini kepada Syarikat D Swim Akademy Sdn. Bhd. untuk menaik taraf fasiliti kompleks ini agar lebih kondusif,” ujarnya.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata, pelaksanaan projek itu mampu membawa kemajuan dalam bidang sukan yang inklusif bagi negeri Pulau Pinang.

“Ini kerana fasiliti-fasiliti yang dibaik pulih ini mampu menyuburkan semangat kesukanan yang utuh dalam kalangan rakyat negeri ini.

Ketua Menteri menandatangani perjanjian bai pihak Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang.

“Selain itu, projek ini juga adalah selaras dengan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara melalui Strategik Inisiatif A4 iaitu “Mempelbagaikan Kemudahan Sukan, Rekreasi, Kesenian dan Kebudayaan”.

“Justeru, adalah diharapkan agar projek ini dapat menjadi produk transformasi yang sangat penting untuk pertumbuhan budaya kesukanan sekali gus melahirkan atlet renang terbaik di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Lip Chee ketika ditemui menyatakan bahawa melalui perjanjian itu, Syarikat D Swim Academy Sdn. Bhd. akan mengendalikan perjalanan operasi untuk tempoh 18 tahun.

“Lebih penting lagi, kita hendak tegaskan adalah tiada sebarang kenaikan caj masuk dikenakan kepada orang awam yang mahu menggunakan fasiliti ini apabila ia siap dinaik taraf kelak.

“Sekiranya pihak syarikat mempunyai perancangan untuk menaikkan harga, mereka mestilah berbincang dan mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada pihak MBSP serta Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang,” tegasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : LAW SUUN TING