Projek naik taraf padang bola sepak Taman Bagan perkasa kemudahan komuniti setempat

Admin
dsc 8856

BAGAN DALAM – Projek menaik taraf padang bola sepak di Taman Bagan, di sini dilihat selari dengan hala tuju pembangunan negeri Pulau Pinang menjelang tahun 2030 dalam usaha memperkasa kemudahan rekreasi dan kesejahteraan komuniti setempat.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, projek tersebut melibatkan kerja-kerja naik taraf padang bola sepak di Jalan Bagan 1 yang terletak berhadapan Bagan Special Centre dengan keluasan tapak kira-kira 2.6 ekar.

Menurut beliau, kawasan lapang awam tersebut sebelum ini aktif digunakan oleh penduduk setempat untuk pelbagai aktiviti sukan, riadah dan kemasyarakatan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Bagan Special Centre kerana memulakan inisiatif ini dengan membelanjakan RM1.3 juta sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyediakan sebuah padang bola sepak.

“Pihak hospital telah melaksanakan pemasangan sistem penyembur air automatik serta penambunan tanah dan sekarang kita akan naik taraf padang bola ini dengan lebih banyak kemudahan yang lain,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Kerja-kerja Naik Taraf Taman Rekreasi Bagan di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, K. Kumaran; ADUN Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid dan Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor.

dsc 8909
Lim Guan Eng (dua dari kanan) bersama-sama Baderul Amin Abdul Hamid (kanan sekali) dan K. Kumaran (kiri sekali) mendengar taklimat memgenai pelaksanaan projek menaik taraf padang bola sepak Taman Bagan oleh pegawai MBSP.

Guan Eng berkata, Pejabat Ahli Parlimen Bagan sebelum ini telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mendapatkan bantuan kewangan untuk melaksanakan projek tersebut.

Katanya, pihak KBS kemudiannya meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi tujuan kerja-kerja naik taraf berkenaan.

“Kita berharap projek ini berjalan mengikut jadual dan akan terus dipantau oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan serta Pusat Khidmat ADUN Bagan Dalam bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan serta selamat digunakan oleh orang ramai,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan projek tersebut sebagai sesuatu yang cukup istimewa kerana kebanyakan pembangunan masa kini menyaksikan padang awam sering diambil bagi tujuan projek pembangunan lain.

“Namun di Bagan, kita mewujudkan sebuah padang bola sepak yang sebelum ini tidak ada untuk diberikan kepada masyarakat setempat.

img 20260524 094914
Ilustrasi padang bola sepak apabila kerja menaik taraf siap kelak.

“Saya berharap projek ini berjalan lancar dan masyarakat dapat bersama-sama menjaga kemudahan ini dengan baik apabila siap kelak,” katanya.

Sementara itu, Baderul Amin memberitahu bahawa projek naik taraf padang bola sepak tersebut melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM1.05 juta yang mana sebanyak RM1 juta diperuntukkan oleh KBS manakala bakinya dibiayai oleh MBSP sendiri.

Beliau beekata, projek berkenaan dijadual dilaksanakan dalam tempoh 24 minggu dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung Oktober 2026.

“Antara skop utama projek termasuk kerja-kerja naik taraf padang bola sepak, pembinaan tandas awam, pemasangan lampu limpah, sistem siraman padang, pembinaan astaka serta laluan penyelenggaraan yang lebih teratur dan selesa,” jelasnya

Baderul Amin berkata, pelaksanaan projek tersebut bukan sekadar melibatkan pembangunan infrastruktur semata-mata, sebaliknya mencerminkan keprihatinan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan terhadap keperluan rakyat.

“MBSP mahu setiap komuniti di Seberang Perai menikmati akses kepada kemudahan awam yang berkualiti tanpa mengira latar belakang atau lokasi tempat tinggal.

“Pembangunan yang dilaksanakan bukan hanya tertumpu kepada aspek fizikal semata-mata tetapi turut menyentuh aspek kualiti hidup rakyat secara menyeluruh,” katanya.

Dalam pada itu,beliau percaya bahawa sebuah bandar hebat tidak hanya diukur melalui pembangunan fizikal atau bangunan tinggi tetapi turut dinilai berdasarkan kesejahteraan rakyatnya.

“Bandar yang baik ialah bandar yang membolehkan rakyat hidup dengan sihat, selamat, gembira dan mempunyai ruang untuk berinteraksi sebagai sebuah komuniti yang harmoni.

“Tambahan pula, kawasan ini juga berfungsi sebagai “green lung” atau paru-paru hijau kepada komuniti setempat.

“Sehubungan itu, usaha menaik taraf kawasan tersebut dilihat selari dengan komitmen MBSP dalam memperkukuh aspirasi Seberang Perai sebagai bandar yang mampan, inklusif, hijau, pintar dan berdaya huni,” katanya.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: MBSP