Projek naik taraf SK Padang Tembak tanda penghargaan buat guru – Syerleena

Admin
featured image projek naik taraf

GEORGE TOWN – Projek menaik taraf dataran kejat dan pentas di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Tembak yang mula dilaksanakan pada 16 November tahun lepas kini telah siap sepenuhnya.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid berkata, pembinaan infrastruktur baharu dengan kos RM85,235.23 itu diharap dapat memberikan persekitaran yang selesa serta kondusif kepada guru-guru dan 340 murid di sekolah berkenaan.

yb syerleena
SYERLEENA ketika ditemui di sidang media hari ini.

“Sebelum ini saya difahamkan bahawa kawasan dataran kejat yang merupakan padang untuk murid-murid menjalankan aktiviti sukan telah berlubang manakala pentas pula dibentuk menggunakan kerusi-kerusi yang disusun oleh guru-guru dan murid.

“Perkara ini membuatkan saya terkesan kerana bagi saya hal yang berkaitan dengan infrastruktur sekolah memainkan peranan penting dalam mewujudkan impak positif kepada masyarakat.

“Selain itu, sekolah ini juga merupakan tempat mengundi semasa setiap kali pilihan raya diadakan, jadi penting untuk kita memastikan kemudahan-kemudahan yang disediakan di sekolah ini dapat digunakan sebaiknya,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

dataran kejat sk padng tembak
SUASANA laungan takbir raya oleh guru-guru dan murid-murid SK Padang Tembak di dataran kejat yang baru dinaik taraf

Syerleena berkata, kontraktor Awind Enterprise dipertanggungjawabkan melaksanakan kerja-kerja penarafan dataran kejat dan pentas yang masing-masing berkeluasan 788 meter persegi (m2) dan 34.20m2.

Difahamkan, projek naik taraf infrastruktur sekolah tersebut merupakan projek terakhir yang disenaraikan di bawah Projek Mesra Rakyat (PMR).

Oleh : NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI
Gambar : LAW SUUN TING