Projek naik taraf Union Square, berjaya turunkan suhu permukaan hampir 24°C

Admin
img 20251119 wa0089

GEORGE TOWN – Pelaksanaan projek penaiktarafan Union Square berjaya menurunkan suhu permukaan di kawasan tersebut sehingga hampir 24 darjah Celsius.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, penurunan suhu itu bukan sahaja meningkatkan keselesaan iklim mikro, malah mewujudkan persekitaran awam yang lebih selesa, sejuk dan inklusif.

Projek tersebut menjadi antara contoh kejayaan program Penang Nature-Based Climate Adaptation Programme (PNBCAP) dalam mewujudkan ruang komuniti yang mesra pengguna di Zon Teras Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

“Melalui pelaksanaan elemen reka bentuk berasaskan alam semula jadi seperti penanaman semula 37 batang pokok, pemasangan turapan telap (pavement) dan pembinaan elemen air hiasan menunjukkan suhu permukaan di kawasan ini menurun hampir 24 darjah Celsius berbanding sebelum penaiktarafan dijalankan.

“Ini membuktikan bahawa reka bentuk bandar berskala kecil seperti ini mampu memberikan impak positif terhadap kesejahteraan sosial komuniti bandar serta penyesuaian iklim,” katanya dalam Sesi Soalan Lisan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 di sini, sebentar tadi.

Selain itu, Zairil berkata, program pertanian bandar turut dilaksanakan di Lebuhraya Rose yang menempatkan kemudahan agroponik, hidroponik dan tanaman anggur laut.

“Program ini dijayakan dengan kerjasama Pusat Pengajian Marin dan Pesisir Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia (USM).

“Selain berfungsi sebagai pusat pembelajaran pertanian bandar, program ini juga dapat memperkukuh pengetahuan serta kemahiran komuniti dalam bidang pertanian bandar dan menyokong inisiatif keterjaminan makanan pada peringkat tempatan.

“Menariknya, program ini turut melibatkan pesara sebagai penjaga utama tapak pertanian, yang membantu penyelenggaraan harian sambil menjana pendapatan tambahan melalui hasil tanaman,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga berkata, sebuah taman mesra usia turut dibangunkan di Lengkok Nipah hasil sesi libat urus awam bersama penduduk setempat yang dijalankan pada tahun 2024.

“Penduduk mencadangkan supaya tapak bekas tempat letak kenderaan dan kontena diubah suai menjadi ruang hijau komuniti yang mesra warga emas.

“Melalui inisiatif ini, sebanyak 67 peratus daripada keseluruhan kawasan konkrit seluas 3,365 meter persegi telah ditransformasikan menjadi kawasan hijau.

“Selain itu, sebanyak 12 batang pokok baharu daripada spesies Samanea saman dan Syzygium gratum telah ditanam sebagai sebahagian usaha meningkatkan teduhan semula jadi dan keseimbangan ekologi bandar.

“Pendekatan ini berjaya mewujudkan persekitaran hijau yang lebih selamat, kondusif dan inklusif, sejajar dengan matlamat PNBCAP untuk pertingkatkan keterhubungan hijau bandar serta kesejahteraan komuniti pelbagai peringkat umur,” katanya.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & MUHAMAD IQBAL HAMDAN