Projek pelebaran jalan bakal dijalankan atasi kesesakan lalu lintas di Bukit Tengah

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang bakal melaksanakan beberapa projek pelebaran jalan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tengah yang semakin buruk ketika ini.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata antara projek yang bakal dilaksanakan adalah membabitkan pelebaran jalan Permatang Tinggi dan Jalan Kebun Baru dekat Seberang Perai Tengah (SPT).

“Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan pelebaran jalan dan aliran kontra di Jalan Kebun Nenas dekat Juru bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan,” katanya dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 dekat Bangunan Dewan Undangan Negeri, di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung.

Pada masa sama kata Zairi, Kerajaan Negeri juga sedang merancang untuk melaksanakan sistem Bas Rapid Transit (BRT) menerusi laluan Permatang Tinggi ke Seberang Jaya.

“Jarak laluan ini dianggarkan pula sejauh 15 kilometer (km) yang mana sebanyak 17 stesen telah dicadangkan.

“Walau bagaimanapun, pelaksanaan komponen ini masih dalam cadangan dan tertakluk kepada semakan pada masa hadapan dan kelulusan agensi yang berkaitan,” jelasnya yang juga ADUN Tanjong Bunga.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyatakan bahawa beberapa projek menaik taraf sedang dijalankan di kawasan Bukit Tengah ketika ini.

“Antaranya projek menaik taraf jalan daripada dua lorong kepada empat lorong di Jalan Tok Kangar bermula dari Autocity ke Persimpangan Jalan Tok Kangar dan di Jalan Juru Estate bermula dari persimpangan Tok Kangar ke Juru Estate yang kini masih dalam pembinaan.

“Selain itu, penaiktarafan jalan daripada dua lorong kepada empat lorong juga sedang dijalankan di Jalan Juru bermula dari Jalan Persekutuan ke persimpangan Jalan Tok Kangar.

“Manakala kerja-kerja menaik taraf persimpangan dan pelebaran di persimpangan lampu isyarat Taman Perindustrian Bukit Minyak Utama telah siap dilaksanakan pada tahun 2019,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI