Projek pembaharuan semula skim perumahan lama Flat Mahsuri mula tahun depan

BUKIT TENGAH – Projek pembaharuan semula skim perumahan lama akan bermula pada tahun depan melibatkan blok Flat Mahsuri dekat Lorong Mahsuri 10, Bayan Lepas sebagai projek perintis.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan oleh Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) di bawah Jawatankuasa Pembaharuan Semula Bandar (URC).

Katanya lagi, selain blok di Flat Mahsuri, empat lagi skim perumahan yang dikenal pasti di bawah projek berkenaan adalah flat di Padang Tembak, Taman Free School (bahagian pulau) manakala di Seberang Perai pula melibatkan flat Taman Siakap dan rumah pangsa Mak Mandin.

Jagdeep bersama-sama Pengurus Besar LPNPP ‘Ainul Fadhilah Samsudi (kanan sekali) pada sidang media selepas merasmikan Bengkel URC pada Jumaat lalu.

“Skim perumahan Mahsuri dekat Bayan Lepas mempunyai lima blok empat tingkat dengan setiap blok ada 250 unit dan tidak ada alasan mengapa ia tidak boleh diubah menjadi blok yang merangkumi 10 hingga 15 tingkat.

“Ini bermakna di tapak yang sama kita boleh membina tiga kali ganda daripada unit yang sedia ada kini.

“Kita mempunyai sebidang tanah lapang di kawasan itu dan kita akan membina blok bertingkat baru untuk memindahkan penduduk dari blok lama yang bakal dirobohkan. Formula yang kita cadangkan adalah pemilik unit akan mendapat satu unit yang baru.

“Blok baru ini juga lebih besar dan tidak kurang daripada 750 kaki persegi dengan dilengkapi 3 bilik tidur dan dua bilik mandi berbanding dengan unit lama yang mempunyai luas bangunan hanya 250 kaki persegi.

“Blok-blok baru di bawah URC juga akan dilengkapi dengan sistem keselamatan dan kemudahan-kemudahan lain yan jauh lebih baik untuk penduduk di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Benkel URC bersama LPNPP dekat sini pada 9 April lalu.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata, semua lima projek pembaharuan semula skim perumahan tersebut dijangka akan menambahkan sekitar 3,000 unit rumah mampu milik (RMM) di negeri ini.

Jagdeep Singh Deo.

“Projek ini adalah sebahagian daripada Visi Penang2030 untuk memenuhi keperluan perumahan yang kondusif dan lebih selesa untuk rakyat di negeri ini,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa objektif URC adalah untuk melihat bagaimana skim perumahan lama dapat dinaik taraf, dibina semula dan diperbaharui seperti yang dilaksanakan oleh banyak negara termasuk Singapura di bawah Urban Regeneration Authority.

“Kerajaan Negeri telah membentuk jawatankuasa ini pada tahun 2013 lagi tetapi tidak dapat diteruskan kerana masalah teknikal dan peruntukan undang-undang.

“Pada 2018, isu pertama yang kita lihat apabila pihak Kementerian (Perumahan dan Kerajaan Tempatan) sendiri datang ke Pulau Pinang adalah berkaitan peruntukan undang-undang.

“Justeru, saya mencadangkan kepada pihak Kementerian sama ada mahu meminda undang-undang sedia ada seperti Akta Strata dan Kanun Tanah Negara atau mewujudkan undang-undang baru khusus untuk pembaharuan semula bandar,” ujarnya lagi.

Difahamkan, bengkel tersebut turut dihadiri oleh pegawai-pegawai dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Pejabat Tanah dan Daerah, PLANMalaysia, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) serta Jabatan Perundangan Negeri.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF