Projek pembangunan semula sekitar Pasar Awam Bukit Mertajam babit RM23 juta – Menteri KPKT

Admin
NGA Kor Meng menyantuni salah seorang penjaja di pasar awam sementara Bukit Mertajam di sini pada 6 Februari 2023.

BERAPIT – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menyalurkan peruntukan berjumlah RM23 juta untuk membangunkan semula lima komponen terpilih bagi memulihkan semula struktur di sekitar kawasan Pasar Awam Bukit Mertajam, yang terlibat dalam kebakaran hampir 10 tahun lepas.

(Dari kiri) JAGDEEP Singh Deo, Nga Kor Meng dan Steven Sim Chee Keong dalam sidang media berkaitan di pasar awam sementara Bukit Mertajam di sini pada pagi tadi.

Menterinya Nga Kor Ming berkata, sumbangan persekutuan itu akan disalurkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Daripada jumlah keseluruhan RM23 juta, beliau memberitahu bahawa RM8 juta akan diperuntukkan untuk pembangunan semula bangunan utama Pasar Awam Bukit Mertajam dan bangunan jualan komoditi halal dan pembinaan tempat letak kereta bertingkat yang mampu memuatkan 400 lot parkir pada satu-satu masa (RM8.5 juta).

“Komponen ketiga adalah peningkatan infrastruktur ‘Infra 20 Minute’ dalam kalangan kejiranan seperti laluan pejalan kali, laluan pejalan kaki berbumbung, lorong belakang, lintasan belang, jalan baharu serta landskap dan perabot jalan (RM5 juta).

“Komponen keempat adalah kemudahan pasar sementara yang akan beroperasi di tempat letak kereta bertingkat (dengan kos) berjumlah RM500,000.

“(Dan), komponen kelima adalah Pusat Kreativiti Bukit Mertajam (yang merangkumi) Pusat Komuniti Bukit Mertajam dan Galeri Warisan; RM1 juta akan diperuntukkan,” jelasnya kepada pemberita selepas melawat kawasan sekitar Pasar Awam Bukit Mertajam di sini pada 6 Februari 2023.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat; ADUN Berapit, Heng Lee Lee; Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad merupakan antara pimpinan Kerajaan Negeri yang menyertai sidang media tersebut.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, Perak, berkata kementeriannya turut akan saling bekerjasama dengan Pertubuhan Arkitek Malaysia untuk penganjuran pertandingan terbuka reka bentuk bandar bagi Bukit Mertajam, selain di Ipoh, Perak.

“Reka bentuk bandar terbaik akan dilaksanakan di Pasar Awam Bukit Mertajam.

“Ia bukan sahaja sebagai pasar (awam) biasa, malahan ia akan menjadi seperti Central Market (di Kuala Lumpur yang mana) ada galeri warisan dan pusat kreativiti.

“Ini suatu lembaran baharu… saya harap gandingan antara Kerajaan Negeri serta hubungan yang cukup erat dengan Kerajaan Persekutuan di negeri Pulau Pinang, kita mampu melakar kejayaan demi kejayaan,” katanya sambil mengumumkan pemberian peruntukan awalan berjumlah RM1 juta.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD