Projek pembangunan, sosial perlu beri manfaat kepada rakyat, kata Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Semua perancangan dan pelaksanaan projek pembangunan mahupun projek sosial yang dibangunkan perlu memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, agensi pelaksana juga disarankan supaya mengambil inisiatif membuat kaji selidik bagi memastikan semua input diambil kira dalam pelaksanaan sesuatu projek.

 

“(Selain) memastikan rakyat menerima manfaat (hasil) projek pembangunan dijalankan, saya juga cadangkan supaya melaksanakan kaji selidik untuk memastikan keperluan serta pembangunan yang tepat untuk rakyat,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian pada sesi kunjungan hormat Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Mohd. Asri Baharum di Komtar pagi ini.

 

MOHD.Asri Baharum (kiri) mengadakan perbincangan bersama-sama Ketua Menteri di Komtar.

Terdahulu, Mohd. Asri hadir ke Komtar bersama-sama Timbalan Pengurus Besar PERDA, Noor Hayati Ishak; Pegawai Undang-Undang PERDA, Yohana Puteh dan Penolong Pegawai Perhubungan Awam, Normuslim Saad hadir ke Komtar kira-kira jam 8.30 pagi bagi mengadakan pertemuan rasmi julung kali dengan Kon Yeow.

 

Pada pertemuan itu, Mohd. Asri membangkitkan beberapa perkara antaranya berkaitan projek-projek pembangunan perumahan mampu milik; pengurusan serta pembangunan dewan orang ramai; isu tanah yang belum dibangunkan dan program-program pembangunan masyarakat serta keusahawanan di bawah PERDA.

 

Turut dibincangkan adalah mengenai struktur pentadbiran PERDA yang terletak di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah; struktur Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri Pulau Pinang dan cadangan penyewaan unit-unit Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di daerah Barat Daya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING