Projek pembesaran PIA dan operasi feri, Kerajaan Negeri diminta tetap bertegas

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Persekutuan diharap dapat memberi jaminan bahawa projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan operasi perkhidmatan feri akan diteruskan pada masa hadapan demi memastikan kedua-dua mod perkhidmatan pengangkutan tersebut terus mampan.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari menegaskan perkara itu ketika menjawab Soalan Lisan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di sini sebentar tadi.

Menurut Zairil, status projek naik taraf PIA daripada 6.5 mppa (million passengers per annum) kepada 12 mppa penumpang telah memperoleh kelulusan pelan Kebenaran Merancang serta kelulusan pelan bangunan daripada pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Walau bagaimanapun, tambah beliau, buat masa ini, kerja pembinaan fizikal di tapak masih belum dijalankan ekoran laporan daripada Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) pada 25 September 2020 menyatakan bahawa pihaknya masih dalam proses untuk mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan pematuhan terhadap kelulusan yang telah diperoleh daripada pelbagai agensi berkaitan.

“Kerajaan Negeri mengambil maklum mengenai cadangan pihak Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk menangguhkan semua projek naik taraf lapangan terbang di Malaysia bagi melaksanakan kajian National Airports Strategic Plan (NASP) yang dijangka siap pada tahun 2023.

“Dan, setakat ini, perincian mengenai laporan ini masih belum dimaklumkan kepada pihak kita (Kerajaan Negeri) dan hakikatnya PIA mesti dinaik taraf jua memandangkan ia akan mencecah kapasiti 9 juta penumpang pada masa akan datang,” ujarnya ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng.

Sebelum itu, Guan Eng dalam soalan lisannya ingin mengetahui status terkini projek pembesaran PIA dengan kos RM800 juta dan operasi perkhidmatan feri Pulau Pinang yang dikhabarkan akan diberhentikan pada tahun hadapan selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri Pengangkutan.

Mengulas lanjut, Zairil memberitahu bahawa melalui perbincangan antara Kerajaan Negeri dan pihak MOT pada 27 Ogos 2020, difahamkan bahawa pihak Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) akan memulakan proses pengambilalihan semula pengurusan perkhidmatan feri daripada Rapid Ferry Sdn. Bhd. (Rapid Ferry).

“Namun, Kerajaan Negeri telah memohon pihak MOT untuk mengemukakan pelan perancangan keseluruhan bagi kerja-kerja naik taraf serta pengoperasian feri-feri baharu kepada kita (Kerajaan Negeri) terlebih dahulu, memandangkan feri merupakan perkhidmatan ikonik dan mod pengangkutan awam yang penting kepada seluruh rakyat negeri ini sejak tahun 1894.

“Lanjutan itu, MOT melalui Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) akan mengadakan sesi libat urus dengan Kerajaan Negeri setelah model perniagaan perkhidmatan feri yang akan disediakan pihak PPSB mendapat persetujuan Kerajaan Persekutuan,” jelasnya sambil memaklumkan bahawa sepucuk surat susulan yang diutus Y.A.B. Ketua Menteri bertarikh 8 September 2020 kepada pihak MOT belum menerima sebarang maklum balas rasmi sehingga kini.

Dalam pada itu, Guan Eng dalam reaksi balasnya meminta agar Kerajaan Negeri Pulau Pinang tetap bertegas untuk memastikan kedua-dua mod perkhidmatan pengangkutan tersebut diteruskan pada masa hadapan.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS