Projek pembinaan underpass di Mount Erskine diteruskan bagi tangani isu kesesakan trafik, respons Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Bagi menangani isu kesesakan di persimpangan di Jalan Gottlieb; Jalan Burma; Jalan Bagan Jermal dan Jalan Mount Erskine, projek pembinaan jalan bawah atau underpass akan diteruskan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, sekiranya projek berkenaan tidak dilaksanakan maka kesesakan lalu lintas akan berterusan dan meruncing pada masa hadapan.

“(Dan) secara tidak langsung pembangunan ekonomi di kawasan tersebut juga akan terbantut,” respons Kon Yeow bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit.

Menurut Kon Yeow, berdasarkan Laporan Penilaian Impak Trafik (TIA Report) pada 2015, unjuran sebanyak 10,000 unit perumahan baru akan wujud di kawasan sekitar Jalan Mount Erskine; Jalan Fettes dan Jalan Lembah pada 2024 apabila jalan bawah siap kelak.

“Selain itu, bilangan kenderaan juga dianggarkan bertambah pada kadar 4.15 peratus setiap tahun di kawasan Pulau Tikus dengan anggaran bilangan kenderaan harian bertambah sebanyak 8,500 buah pada 2024,” ujar Kon Yeow dalam sesi soalan lisan, Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Dewan Sri Pinang pagi ini.

Chun Kit kemudiannya menyoal sama ada Kerajaan Negeri mempunyai alternatif lain bagi menyurai masalah kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.

Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota memberitahu dewan bahawa tindakan awalan telah dilaksanakan termasuk melebarkan jalan di persimpangan – persimpangan tersebut.

“Pelebaran (jalan) di persimpangan Jalan Mount Erskine dan Jalan Gottlieb telah dibuat termasuk di Jalan Burma dan Jalan Cantonment bagi menghadapi kemungkinan pertambahan trafik.

“(Dan) pada masa hadapan jajaran PIL1 (Pan Island Link 1) juga akan melalui persimpangan tersebut.

“Maka pihak MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) tidak mempunyai pilihan lain dan selain daripada membina jalan bawah,” jelasnya.

Tambah Kon Yeow lagi, sekiranya pihak MBPP memilih untuk membina flyover (jejambat) maka kos akan menjadi lebih tinggi.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD