Projek perintis tapak parkir pintar mula dilaksana Ogos

Admin

GEORGE TOWN – Mulai Ogos ini, pemandu hanya perlu memuat turun aplikasi pintar ‘Smart Parking System’ pada telefon masing-masing untuk mendapatkan tapak parkir kereta secara mudah dan cepat, tanpa perlu ke hulu ke hilir seperti dahulu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, dalam Fasa 1 projek tersebut, sebanyak 1,000 alat pengesan khusus akan dipasang pada setiap tapak letak kereta terpilih bagi membekalkan maklumat secara pintar, cepat serta mudah langsung kepada pengguna.

Tambahnya, menerusi aplikasi pintar tersebut, pembayaran caj parkir adalah lebih mudah iaitu secara e-wallet.

“Dengan teknologi IoT (internet untuk segalanya) dan perkomputeran awam ini, kita hanya perlu masukkan destinasi yang dituju dan aplikasi pintar ini akan memberikan kedudukan parkir terdekat,” jelas beliau dalam sidang media di luar dewan bersidang Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di Dewan Sri Pinang dekat sini pada 2 Mei 2019.

Dalam pada itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu bahawa Heitech Padu Berhad, iaitu firma perkhidmatan teknologi yang tersenarai dalam Bursa Malaysia akhirnya dipilih, selepas lebih 60 pihak membida untuk membangunkan sistem parkir pintar berkaitan.

“Perkongsian hasil adalah 35 peratus membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT), sementara 65 peratus adalah Heitech Padu…perkongsian selama tujuh tahun (dari bulan Mei 2019 hingga Julai 2026).

“Caj parkir adalah kekal, 80 sen sejam di kawasan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan MPSP (40 sen sejam).

“Kupon parkir akan digunakan sehingga fasa-fasa pemasangan Penang Smart Parking siap sepenuhnya, kelak,” responsnya.

Untuk fasa pertama tersebut, Jagdeep menyatakan bahawa sistem parkir pintar berkenaan akan dilaksanakan pada 647 petak parkir di bahagian George Town, iaitu di Lebuh Union, Lebuh Pantai (Lebuh Light – Gat Lebuh Chulia), Lebuh Pasar, Lebuh Queen (Lebih Bishop – Lebih China), Lebuh Queen (Lebuh China – Lebuh Chulia, Lebuh Penang (Lebuh Light – Lebuh China), Lebih Penang (Lebuh China – Lebuh Chulia), Lebuh King (Lebuh Light – Lebuh China), Lebuh King (Lebuh China – Lebuh Chulia), Lebuh Downing, Lebuh Bishop, Lebuh Gereja, Gat Lebuh Gereja, Lebuh China dan Gat Lebuh China.

Tambah beliau, fasa pertama pelaksanaan sistem pintar berkaitan pada 350 tapak parkir bagi bahagian Seberang Perai iaitu dekat Lorong Langsat dan Jalan Icon City.

Jumlah keseluruhan tapak parkir di negeri ini adalah 36,000, iaitu 12,000 di kawasan MBPP dan MPSP (24,000).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI