Projek PSI; Pulau Pinang masih menunggu maklum balas kemas kini Laporan EIA

BATU UBAN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih menunggu maklum balas Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang telah dikemas kini bagi Projek Penang South Islands (PSI).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PIC), Datuk Seri Farizan Darus berkata bahawa Laporan EIA telah dikemas kini dan dikemukakan semula kepada JAS  pada 29 April 2022 untuk tindakan selanjutnya.

 

Laporan EIA yang dikemukakan semula ini adalah lebih komprehensif yang mana pihak-pihak berkepentingan telah mengadakan perbincangan dan pembentangan bersama-sama panel sebelum dimuktamadkan. 

 

“(Dan) sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kita (Kerajaan Negeri) akan memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki kelak sebelum memulakan kerja,” ujarnya pada sidang media sejurus hadir pada Majlis Pelancaran Program-Program Pendidikan di bawah Skim Social Impact Management Plan (SIMP) bagi Projek Penang South Islands (PSI) di Universiti Sains Malaysia pada 3 September 2022.

 

Hadir sama, Timbalan Pengarah Projek SRS Consortium Sdn. Bhd., Azmi Mohamad.

 

FARIZAN Darus pada sidang media sejurus majlis berkaitan di sini.

 

Mengulas lanjut, Farizan memberitahu bahawa keputusan terhadap Laporan EIA tersebut sepatutnya akan diketahui pada bila-bila masa berdasarkan garis masa projek berkenaan.

 

Ikutkan garis masa projek (keputusan) akan diketahui dalam bulan ini (September 2022) dan langkah seterusnya untuk memulakan projek tersebut, Kerajaan Negeri perlu mengemukakan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (Environmental Management Plan, EMP) kepada JAS Negeri.

 

“Pelan ini adalah perlu diluluskan oleh JAS Negeri sebagai ‘lesen’ untuk memulakan projek berkaitan kelak dan hanya mengambil masa dalam tempoh dua minggu sahaja (untuk terima maklum balas),” jelasnya yang turut berharap agar laporan yang dikemukakan semula ini memperoleh kelulusan.

 

Terdahulu, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari melalui kenyataan media bertarikh 30 Ogos 2022 memaklumkan perkara serupa dan menzahirkan komitmen bahawa Kerajaan Negeri akan meneruskan pembangunan PSI yang bukan sahaja memanfaatkan rakyat Pulau Pinang tetapi juga rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

 

Projek ini juga memberi pelbagai manfaat kepada para nelayan dan keluarga mereka melalui SIMP yang mana seperti dicadangkan pemberian ex-gratia, bot yang lebih besar dan berkuasa tinggi, peluang-peluang perniagaan dan pembangunan jeti baharu.

 

“(Dan) Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM100 juta untuk merealisasikan inisiatif berkaitan demi manfaat semua,” katanya sebagai memetik kenyataan media tersebut.

 

Sebagai rekod, sebelum ini Kerajaan Negeri telah mengemukakan Laporan EIA pada tahun 2019, namun ditolak atas sebab hal-hal berkaitan teknikaliti. Susulan itu, rayuan dibuat untuk mengemukakan semula laporan tersebut kepada JAS yang mana laporan terbaru itu diserahkan pada April lalu setelah pindaan dilakukan dan masih menunggu maklum balas pihak berkaitan sehingga ke hari ini.

 

Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI