Projek PSR: butiran 72 syarat bakal diumum Selasa ini, Kon Yeow akan adakan pertemuan dengan DSAI

Admin

GEORGE TOWN – Maklumat terperinci mengenai 72 syarat-syarat dan nasihat ditetapkan Jabatan Alam Sekitar dalam kelulusan bersyarat Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek tambakan laut di perairan selatan pulau (PSR) akan diumumkan pada Selasa ini.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa beliau akan mengumumkan butiran lanjut berhubung 72 syarat-syarat itu dalam sidang media yang dijadualkan pada 16 Julai ini.

 

CHOW Kon Yeow.

“Saya percaya dalam syarat-syarat berkenaan juga telah mengambil kira usaha mitigasi, impak alam sekitar dan langkah-langkah untuk menangani isu para nelayan bagi membolehkan mereka (nelayan) meneruskan aktiviti nelayan di kawasan tersebut.

 

“Pihak SRS (SRS Consortium, rakan pelaksana projek) juga telah memulakan langkah seterusnya iaitu dengan melihat pelaksanaan projek tersebut setelah Laporan EIA diluluskan baru-baru ini,” ujarnya kepada pemberita sejurus merasmikan acara SXI Padang Kota Run 2019 dan Pelancaran ‘Smart Board’ di St. Xavier’s Institution dekat Lebuh Farquhar pagi ini.

 

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Lee Chun Kit; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Gerald Mak Mun Keong serta barisan penganjur.

 

Dalam pada itu, mengulas mengenai pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama wakil nelayan di Unit Nelayan Sungai Batu, Teluk Kumbar semalam, Kon Yeow memaklumkan bahawa beliau akan menghubungi Anwar bagi mengadakan pertemuan dalam waktu terdekat.

 

“Saya menyambut baik inisiatif Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertemu dengan wakil nelayan semalam.

 

“Minggu lepas pun, semasa di Parlimen, saya ada bertemu dengan beliau (Anwar) dan memaklumkan status terkini berhubung projek berkenaan.

 

“Saya juga ada menyatakan sekiranya perlu, sesi taklimat boleh diaturkan sebagaimana sebelum ini YB Nurul Izzah (Ahli Parlimen Permatang Pauh) meminta supaya mengadakan taklimat untuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) khasnya Ahli-Ahli Parlimen.

 

“(Dan) seperti yang saya nyatakan sebelum ini, sekiranya perlu sesi taklimat lanjut boleh diadakan,” kata Ahli Parlimen Tanjong itu sebagai respons terhadap pertanyaan pihak media.

 

Menurut Kon Yeow, daripada laporan awal yang diterima, isu kepentingan serta kebajikan para nelayan menjadi isu utama yang dibangkit dalam pertemuan semalam.

 

“Sebenarnya (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) sentiasa menjadikan isu tersebut (kebajikan serta kepentingan nelayan) sebagai keutamaan dan ia bukanlah suatu isu yang luar biasa.

 

“Lagipun, pihak yang menyatakan ada isu dengan (pelaksanaan) projek itu sebenarnya tidak pun menentang pelaksanaan projek tersebut.

 

“(Dan) Kerajaan Negeri juga mengambil maklum isu-isu yang dibangkitkan sebelum ini (oleh wakil nelayan dan badan bukan kerajaan) serta mengharapkan ia dapat dijalankan sekaligus memberi impak yang lebih baik terhadap pembangunan di negeri ini dan rakyat Pulau Pinang pada masa hadapan,” ulas beliau.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN