Projek RMM diharap bantu pertambahan pelajar di beberapa sekolah dekat Pengkalan Kota – Kon Yeow

Admin

PENGKALAN KOTA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap projek perumahan mampu milik (RMM) yang bakal dibangunkan di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pengkalan Kota akan membantu pertambahan bilangan pelajar di beberapa sekolah di sini.

“Pengkalan Kota terletak di kawasan pusat bandar yang padat dengan penduduk, tetapi juga mengalami pengaliran keluar penduduk hingga membawa kepada kekurangan bilangan pelajar di beberapa buah sekolah dekat sini.

“Justeru, diharap beberapa projek perumahan yang akan dibangunkan dapat membawa masuk penduduk baharu sekaligus menampung pertambahan murid-murid baharu di sekolah-sekolah ini,” ujarnya pada Majlis Program Bantuan Persekolahan KADUN Pengkalan Kota dekat Dewan Komuniti Sri Saujana, Jalan Maccalum di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Daniel Gooi Zi Sen dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Wong Yuee Harng.

Seramai 287 pelajar di kawasan Pengkalan Kota terpilih untuk menerima baucar persekolahan bernilai RM50.

Pusat Khidmat KADUN Pengkalan Kota memperuntukkan sejumlah RM14,350 bagi tujuan tersebut demi meringankan beban ibu bapa menjelang sesi persekolahan tahun 2019 yang akan dibuka tidak berapa lama lagi.

Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjung dan ADUN Padang Kota berkata, sebagai sebuah kerajaan yang telah dipilih rakyat, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk menyediakan prasarana demi keperluan rakyat.

Menurutnya, pendekatan berkaitan sememangnya menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk menyediakan suatu suasana yang baik kepada rakyat meskipun kemampuan sumber kewangan (Kerajaan Negeri) yang terhad.

“Kita akan cuba pastikan rakyat menikmati kehidupan yang baik serta menikmati peluang pekerjaan dengan pendapatan tinggi, kemudahan prasarana lengkap, utiliti dan lalu lintas.

“Sememangnya pelan tindakan yang baik telah dirancang untuk negeri Pulau Pinang yang akan dilaksanakan selepas ini.

“Jadi, saya menyeru rakyat untuk sentiasa memainkan peranan masing-masing dan bekerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri bagi memastikan Pulau Pinang terus maju serta menjadi tauladan kepada negeri-negeri lain,” seru beliau.

Dalam pada itu, Zi Sen dalam ucapannya memaklumkan bahawa sebanyak dua projek RMM akan dibangunkan di kawasan tersebut iaitu dekat Jalan Pintasan Cecil dan Lebuh Sandilands.

“Di Jalan Pintasan Cecil adalah melibatkan 348 unit rumah kos sederhana rendah (KSR), manakala Lebuh Sandilands (321 unit KSR dan 482 unit RMM),” jelasnya.