Projek RMM Pengkalan Tambang ‘batu loncatan’ Penang2030 – Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri menyampaikan ucapan perasmian sebelum menyempurnakan acara Majlis Pecah Tanah Projek RMM Pengkalan Tambang dekat KADUN Permatang Pasir pada 30 Julai 2022.

PERMATANG PASIR – Kerajaan Negeri hari ini akan melaksanakan satu lagi projek perumahan mampu milik (RMM) di atas sebidang tanah berkeluasan 23 ekar di Pengkalan Tambang dekat sini.

Projek tersebut terdiri daripada tiga blok rumah pangsa lima tingkat yang mengandungi 350 unit RMM Jenis A (dengan harga RM42,000 seunit) di atas tanah berkeluasan 4.6 ekar; 440 unit RMM Jenis C3 (maksimum harga RM250,000 seunit) atau rumah bandaran (townhouse) melibatkan tanah seluas 18.4 ekar; serta kemudahan masyarakat lain seperti surau, dewan komuniti dan tapak rumah ibadat bukan Islam (RIBI).

LAKARAN grafik RMM Jenis A di Pengkalan Tambang, Permatang Pasir
LAKARAN grafik ‘Town House’ RMM Jenis C3 di Pengkalan Tambang, Permatang Pasir

Semasa melancarkan projek tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap ia akan menjadi satu lagi batu loncatan buat Kerajaan Negeri dalam melaksanakan agenda perumahan rakyat.

“Sesungguhnya, pelancaran projek pada hari ini merupakan satu lagi ‘milestone’ dalam usaha Kerajaan Negeri bukan sahaja untuk menjayakan agenda perumahan rakyat, namun juga merangkumi kejayaan dasar-dasar negeri yang memberi fokus kepada pertumbuhan (ekonomi) dan kemajuan negeri Pulau Pinang secara saksama di antara bahagian pulau serta Seberang Perai.

“Adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri untuk melihat perkembangan positif daripada projek pembangunan projek perumahan ini yang mana saya pasti mampu memberi nilai tambah lebih baik kepada masyarakat di sini terutama daripada segi peningkatan status ekonomi serta kualiti hidup rakyat yang lebih baik dan selesa,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi dalam Majlis Pecah Tanah RMM Pengkalan Tambang di sini pada 30 Julai 2021.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong turut memberitahu bahawa Kerajaan Negeri sejak tahun 2014 telah memperkenalkan semula kaedah sewa beli (rent-to-own), memandangkan wujudnya kadar penolakan permohonan pinjaman bank yang agak tinggi sebelum ini.

“Saya berharap YB Jagdeep ingat perkara yang diminta oleh YB (Muhammad) Faiz (ADUN Permatang Pasir) juga iaitu keutamaan untuk penduduk tempatan mendiami unit kediaman apabila projek ini siap kelak.

“(Selain itu,) sekiranya pemaju ingin menawarkan sewa beli kepada RMM (Jenis) A yang dibina, sudah pasti ia memberikan kegembiraan berganda kepada bakal penerima di perumahan ini,” ujarnya.

JAGDEEP Singh Deo (depan, kanan sekali) turut mengiringi Ketua Menteri (depan, dua dari kanan) mengikuti taklimat khas daripada wakil pemaju berhubung projek RMM Pengkalan Tambang di sini pada pagi tadi.

Sebelum pada itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo turut merakamkan penghargaan kepada Kon Yeow kerana memasukkan majlis pecah tanah projek RMM Pengkalan Tambang ini dalam jadual Jelajah Ketua Menteri Ke Parlimen Permatang Pauh pada hari ini.

Selain itu, beliau turut memberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini akan terus mengutamakan agenda perumahan rakyat, sebagaimana disebut dalam Manifesto Pakatan Harapan bersempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kira-kira empat tahun lepas.

Sehingga kini, menurut Jagdeep, jumlah unit kediaman yang siap dibina, dalam proses pembinaan dan telah lulus projek untuk dimajukan mencecah sebanyak 138,545 unit atau 62.9 peratus berbanding sasaran 220,000 unit di bawah Penang2030.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan terus berbincang dengan seramai mungkin pihak pemaju swasta untuk memastikan sasaran Penang2030 (iaitu membekalkan 220,000 unit kediaman tercapai,” ulas ADUN Datuk Keramat tersebut.

SAMBIL disaksikan Ketua Menteri (tengah), Muhammad Faiz Fadzil (kiri) dalam majlis sama turut menyampaikan pek bantuan makanan kepada salah seorang penerima terpilih.

Sementara itu, ADUN Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil pula mensyorkan Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) supaya mewujudkan kuota khas untuk penduduk lokal memiliki rumah dalam projek RMM Pengkalan Tambang kelak.

Di samping itu, beliau turut mencadangkan diwujudkan sebuah galeri Nordin Ahmad sebagai memperingati seniman negara itu yang merupakan anak jati di sini, jika syarikat pemaju Tetuan Spirit of Seberang Perai Sdn. Bhd. mempunyai lebihan kewangan (surplus) yang lebih dalam dua fasa projek RMM Pengkalan Tambang kelak.

Sambil menyokong usaha Kerajaan Negeri melaksanakan projek RMM Pengkalan Tambang, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar pula dalam ucapannya berharap pemaju berkenaan dapat memastikan projek rumah awam tersebut kalis bencana alam pada masa akan datang.

Turut serta, Timbalan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Dr. Roslan Ahmad yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT