PADANG LALANG – Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Jalan Medan Tembikai yang sedang dilaksanakan dijangka mampu mengurangkan risiko banjir kilat secara signifikan di kawasan Taman Sri Rambai dan kawasan sekitar yang sekian lama berdepan masalah banjir kilat secara berulang.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, kawasan tersebut sebelum ini mengalami kejadian banjir kilat sehingga enam kali setahun dan menjejaskan kira-kira 80 rumah dengan paras air dianggarkan antara 300 milimeter (mm) hingga 450mm.
Menurut beliau, keadaan tersebut bukan sahaja menyebabkan kerosakan harta benda penduduk, malah mengganggu kelancaran lalu lintas serta menjejaskan kualiti hidup masyarakat setempat.
“Projek ini menggunakan sistem pam skru yang mampu mengalirkan air keluar dengan lebih berkesan, sekali gus mempercepat usaha mengurangkan limpahan air ketika kejadian banjir.
“Sebelum ini, antara isu yang dihadapi ialah sampah-sarap yang tersangkut di rumah pam sehingga menyebabkan sistem gagal berfungsi dengan baik ketika hujan lebat.
“Dengan penggunaan teknologi pam skru ini, kita berharap masalah tersebut dapat ditangani dengan lebih efektif dan seterusnya meminimumkan risiko banjir kilat di kawasan Sungai Rambai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas memgadakan lawatan ke RTB Jalan Medan Tembikai dekat sini sebentar tadi.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Exco Belia, Sukan dan Kesihatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Daniel Gooi Zi Sen; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; barisan Ahli Majlis bagi MBSP dan Pengarah Kejuruteraan MBSP, Mohd. Syukri Said.




Sementara itu, Baderul Amin menjelaskan bahawa pelaksanaan Projek RTB Jalan Medan Tembikai merupakan susulan kepada Projek RTB Parit 4 yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada tahun 2020 berdasarkan kajian bersepadu yang dijalankan dalam dua fasa.
“Susulan kajian tersebut, MBSP menerima arahan bertulis daripada Kerajaan Negeri pada tahun 2022 untuk melaksanakan projek RTB Jalan Medan Tembikai memandangkan ia melibatkan kawasan perumahan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Baderul Amin menyatakan bahawa MBSP telah memulakan proses penyediaan reka bentuk terperinci serta perolehan projek pada tahun 2024 mengikut prosedur dan pekeliling yang ditetapkan.
“Pada tahun 2025, pelantikan kontraktor telah disempurnakan, dan projek kini berada dalam fasa pelaksanaan fizikal.
“Projek ini melibatkan kos kira-kira RM4.83 juta, bermula pada April tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2027,” ujarnya sambil menambah bahawa pelaksanaan projek tersebut kini berada pada tahap 48 peratus.
Dalam pada itu, Zi Sen merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan MBSP atas komitmen melaksanakan projek berkenaan demi kesejahteraan penduduk.
Beliau turut memaklumkan bahawa permohonan bagi pelaksanaan Projek RTB Sungai Kilang Ubi yang berskala lebih besar telah dikemukakan bagi menangani isu banjir kilat di Jalan Bukit Minyak.
“Sekiranya projek RTB Sungai Kilang Ubi dapat dilaksanakan, ia dijangka mampu mengurangkan kejadian banjir kilat secara ketara di kawasan Padang Lalang dan kawasan sekitarnya,” katanya.
Difahamkan, skop projek adalah termasuk pembinaan rumah pam yang dilengkapi dua unit pam berkapasiti 500 liter sesaat (l/s) setiap satu, kerja-kerja naik taraf parit jenis U-Drain (UD) bersaiz 1,200mm x 600 mm sepanjang 770 meter serta parit UD bersaiz 900mm x 900mm sepanjang 300 meter.
Selain itu, projek berkenaan turut merangkumi kerja naik taraf kotak pembentung pelbagai saiz sepanjang kira-kira 900 meter, kerja baik pulih aliran kolam takungan termasuk menaik taraf balancing culvert, kerja naik taraf bahu jalan dan turapan jalan yang terlibat dengan skop projek, serta pemasangan pintu air mengikut spesifikasi dan saiz yang ditetapkan.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT