Projek tangki air Taman Sahabat bermula, atasi masalah bekalan air setempat

img 7521 AZRUL Mahathir Aziz (berdiri) berucap dalam projek penyelenggaraan dan penggantian tangki air di Taman Sahabat dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bayan Lepas di sini pada 13 Oktober 2026.

BAYAN LEPAS – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memulakan projek penyelenggaraan dan penggantian tangki air di Taman Sahabat bernilai RM470,000 pada 13 Oktober 2026 bagi mengatasi masalah bekalan air di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Dato’ Azrul Mahathir Aziz berkata, projek yang dijangka mengambil masa empat bulan itu bertujuan menangani masalah tekanan air rendah serta kekurangan kemudahan penyimpanan air yang kerap menjejaskan penduduk setempat.

Menurutnya, pelaksanaan projek itu mencerminkan kerjasama erat antara kepimpinan penduduk, PBAPP dan Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Sejak tahun lepas, PBAPP komited menyalurkan sumbangan sebanyak RM1 juta setahun bagi projek penyelenggaraan berkaitan.

“Alhamdulillah, sebanyak RM470,000 diperuntukkan pada tahun ini untuk kerja-kerja di Taman Sahabat.

“Saya menyeru semua penduduk supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak kontraktor sepanjang tempoh pelaksanaan projek, khususnya dalam pengurusan parkir kenderaan bagi memudahkan pergerakan jentera berat seperti kren untuk menjalankan kerja di tingkat empat blok kediaman,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang berkata demikian pada majlis berkaitan di Taman Sahabat di sini pada 13 Oktober 2026.

Dalam perkembangan lain, Azrul Mahathir memaklumkan bahawa projek penggantian bumbung di perumahan strata Taman Emas bernilai RM800,000 menerusi peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dijadualkan bermula pada 15 Oktober ini.

Selain itu, jelasnya lagi, PBAPP turut memperuntukkan RM500,000 bagi pembinaan tangki tambahan dan pemasangan pam penggalak tekanan air berhampiran lampu isyarat Sungai Batu.

“Inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan bekalan air, khususnya di kawasan tanah tinggi dan lokasi di hujung paip agihan (End of Line, EoL),” katanya.

Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB