Projek tebatan banjir berimpak tinggi RM16.5 juta Taman Iping direalisasi

Admin

BATU MAUNG – Penyempurnaan projek tebatan banjir berimpak tinggi di Sungai Nipah dekat Taman Iping bukan sahaja memberi kelegaan kepada lebih 2,000 penduduk di kawasan penempatan malah juga membawa pelbagai manfaat bagi komuniti di kawasan komersial dan industri berdekatan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa projek yang menelan kos sebanyak RM16.5 juta itu dimulakan pada 16 Mac 2018 dan berjaya disiapkan pada 26 Mac 2022 setelah tertangguh seketika akibat pandemik.

Objektif utama pembangunan projek tebatan banjir ini adalah untuk mengurangkan risiko banjir di kawasan penempatan antaranya di Taman Iping, Taman Seri Mewah dan Taman Sri Indah serta kawasan komersial dan industri yang berada di sepanjang lembangan sungai yang berkeluasan 3.2 kilometer ini.

“Terdapat dua komponen utama bagi projek ini iaitu pembinaan rumah pam Taman Iping 1 di Jalan Batu Maung dengan kapasiti pam enam meter padu per saat (m³/s) dan satu lagi Taman Iping 2 (bersebelahan Akuarium Tun Abdul Rahman, AkuaTAR) dengan kapasiti pam 7m³/s.

RUMAH pam Taman Iping bakal memberi manfaat kepada lebih 2,000 penduduk di kawasan sekitar.

“(Dan) projek ini direka bentuk untuk menampung intensiti hujan sehingga 20 ARI atau average recurrence interval,” ujarnya pada Majlis Perasmian Rumah Pam Taman Iping di sini pada 9 Jun 2022.

Menurut Kon Yeow, daripada keseluruhan lapan projek RTB dengan kos sebanyak RM150 juta, sebanyak empat projek telah berjaya disiapkan menerusi agensi pelaksana Kerajaan Negeri iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang.

“Kita (Kerajaan Negeri dan JPS Pulau Pinang) telah menyiapkan empat projek iaitu RTB Parit 4, RTB Parit 5 (masing-masing di Seberang Perai Tengah, SPT); RTB Mak Mandin dan yang terkini RTB Taman Iping di sini.

“(Dan) baki empat projek lagi berada dalam beberapa fasa kemajuan memberangsangkan iaitu RTB Bayan Baru yang dijangka siap dalam masa terdekat ini; manakala projek di Kolam Takungan Alma dan Sungai Tiram (Kampung Naran) kini dalam fasa pembinaan serta RTB Permatang Rawa dalam proses reka bentuk semula.

“Selain itu, terdapat dua projek lain yang kini dalam proses kerja-kerja permulaan di tapak pada 1 Jun lalu iaitu Projek Tebatan Banjir Van Praagh dan Projek Tebatan Banjir Parit Monsun di Kampung Pokok Assam (kedua-duanya dalam daerah Timur Laut, DTL).

“Bagi Projek Tebatan Banjir Taman Tembikai (SPT) pula akan ditenderkan dalam masa terdekat ini yang mana ketiga-tiga projek ini menggunakan peruntukan pembangunan negeri dan amanah caruman perparitan,” jelasnya yang kemudiannya dibawa melawat ke rumah pam tersebut.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow berharap projek-projek yang telah memperoleh kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan seperti RTB Sungai Pinang (DTL); RTB Taman Siakap (SPT) dan RTB Sungai Kecil (Seberang Perai Selatan, SPS) dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Masih terdapat beberapa projek RTB lain berada pada peringkat kajian dan reka bentuk yang menggunakan peruntukan kedua-dua pihak (Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri).

“Kita berdoa agar proses kajian dan reka bentuk ini dapat disiapkan mengikut jadual dan kemudiannya disusuli dengan kerja-kerja pembinaan,” katanya sambil menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri untuk mengurangkan sebanyak 80 peratus daripada 63 kawasan hotspot banjir dikenal pasti menjelang tahun 2030 nanti.

Terdahulu, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari yang turut berucap pada majlis sama memaklumkan bahawa beliau amat gembira apabila projek RTB Taman Iping berkaitan dapat disiapkan meskipun terlewat daripada jadual asal iaitu jangkaan pada pertengahan bulan Januari 2021.

Selain Zairil, hadir sama pada majlis tersebut ialah Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Dr. Mohamad Farazi Johari; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; Timbalan Pengarah JPS Pulau Pinang, Ooi Soon Lee; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Pegawai Daerah bagi Daerah Barat Daya, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR