Projek tebatan banjir di Jalan Tembikai dijangka siap pertengahan Disember ini

Admin

PADANG LALANG – Kerja-kerja menaik taraf saliran bagi mengatasi kejadian banjir kilat di sekitar Jalan Tembikai, di sini dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan Disember ini.

Timbalan Pengarah (Infrastruktur) Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Mohd. Syukri Said berkata, projek dengan kos kira-kira RM164,000 itu melibatkan kerja-kerja membina sebuah parit untuk mengalirkan air terus ke rumah pam sedia ada dekat Medan Nangka.

“MBSP menjalankan dua projek tebatan banjir (fasa ketiga) di kawasan Padang Lalang iaitu di Tingkat Binjai 8 dan Tingkat Binjai 10 yang kerap mengalami banjir kilat apabila berlaku hujan lebat.

“Tingkat Binjai 8, kerja-kerja yang dilaksanakan adalah membina parit pintasan untuk mengalirkan air terus ke parit monsun dan seterusnya ke rumah pam melibatkan kos RM40 ribu dan kini telahpun siap sepenuhnya.

“Manakala, projek di Tingkat Binjai 10 pula, MBSP masih dalam proses melantik kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja menaik taraf parit sedia ada yang berliku supaya lebih lebar dan terus bersambung dengan parit monsun,” ujarnya pada sidang media sempena lawatan ke tapak projek tebatan banjir Parit 4 dekat Jalan Tembikai di sini, pagi ini.

Kerja-kerja menaik taraf Parit 4 dijangka siap sepenuhnya pada Mac tahun depan.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Chong Eng; Ahli Majlis MBSP, Bernard Cheen Goon Hooi serta Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Seberang Perai Tengah, Mohd. Nasyarul Ahmad Rizan.

Mengulas lanjut, Mohd. Syukri memberitahu bahawa kerja-kerja menaik taraf saliran di Parit 4 kini telah siap 45 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2020.

Pada sidang media yang sama, Chong Eng turut mencadangkan supaya sebarang pembangunan baru yang akan dilaksanakan pada masa akan datang perlu mengambil kira keadaan saliran di kawasan terlibat bagi mengelakkan berlakunya bajir kilat.

“Sebagai contoh di kawasan Permai Jaya yang kerap dilanda banjir kilat selepas berlaku banyak pembangunan seperti pembinaan pasar raya dan taman-taman perumahan.

“Justeru, kita berhasrat untui mengkaji sama ada kolam takungan air yang ada di Permai Jaya boleh didalamkan lagi bagi menyimpan lebih banyak kapasiti air,” katanya yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam.

Dalam pada itu, Goon Hooi memaklumkan bahawa satu lagi projek tebatan banjir telah diluluskan melalui Pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam dengan kos RM20,000 melibatkan kerja-kerja memasang culvert bersaiz 99 milimeter dan panjang kira-kira 80 kaki persegi.

“Kerja-kerja menaik taraf ini bertujuan menyambungkan projek fasa ketiga ke parit utama dekat Jalan Binjai,” jelasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD