Projek Tebatan Banjir Mak Mandin libat RM45 juta peruntukan negeri siap, manfaatkan 12,000 penduduk

Admin
KETUA Menteri menyaksikan operasi di Rumah Pam Mak Mandin di sini pada pagi tadi.

BAGAN JERMAL – Sebagaimana dirancang, keseluruhan Projek Tebatan Banjir Mak Mandin yang melibatkan kelulusan peruntukan terbesar peringkat Kerajaan Negeri iaitu kira-kira RM45 juta kini siap berfungsi.

KETUA Menteri

Semasa berucap, Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa projek berskala besar itu diharap mampu mendepani perubahan iklim yang membawa kepada risiko bencana serta melimpah manfaat kepada kira-kira 12,000 penduduk dalam kawasan pelindungan banjir sekitar 300 hektar terutama Taman Bagan, Taman Cantik, Pusat Pakar Bagan, Sekolah Menengah Kebangsaan Tamil Mak Mandin serta sekitar Jalan P. Patto.

“Saya yakin dan percaya bahawa projek yang telah siap dibina ini akan meningkatkan tahap pelindungan banjir ke tahap optimum dan membawa manfaat kepada penduduk setempat terutamanya di bahagian besar kawasan banjir (kira-kira) 80 peratus di kawasan Bagan dan Mak Mandin,” jelasnya dalam Majlis Perasmian Rumah Pam Projek Tebatan Banjir Mak Mandin dekat Jalan Bagan 23 di sini pada 22 Januari 2022.

Difahamkan, projek penarafan Rumah Pam Mak Mandin bermula pada 16 Mac 2018 dan siap pada 8 November 2021 adalah selepas melalui pelbagai masalah berbangkit dan fasa pandemik COVID-19 yang berpanjangan.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa Kerajaan Negeri kini sedang melaksanakan Projek-Projek Tebatan Banjir Berimpak Tinggi bernilai kira-kira RM150 juta dengan menggunakan peruntukan negeri.

“Projek yang dirancang ini memberi tumpuan kepada beberapa kawasan ‘hotspot’ banjir iaitu empat daripadanya di Daerah Seberang Perai Tengah iaitu Parit 4, Parit 5, Sungai Permatang Rawa dan Kolam Takungan Alma; tiga di Daerah Barat Daya (Bayan Baru, Taman Iping dan Sungai Tiram) dan di Daerah Seberang Perai Utara (Mak Mandin),” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Sambil merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, Kon Yeow menyatakan bahawa Projek Tebatan Banjir Berimpak Tinggi di Parit 4, Parit 5 dan Projek Mak Mandin berkaitan telah siap berfungsi.

“Dua projek (lain) di Taman Iping dan Bayan Baru dijangka siap pada masa terdekat; projek Kolam Alma dalam fasa pembinaan manakala Permatang Rawa (dalam proses reka bentuk semula),” ulasnya.

Dalam perkara berkaitan Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong turut merakamkan penghargaan atas penyaluran peruntukan Persekutuan berjumlah RM150 juta kepada JPS Negeri Pulau Pinang bagi pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang.

Beliau turut memaklumkan bahawa pentadbirannya akan melaksanakan Projek Rancangan Tebatan Banjir Taman Siakap yang dijangka bermula pada tahun ini, dengan kos RM20 juta.

LIM Guan Eng (lima dari kiri) antara pemimpin negeri yang menyertai acara perasmian majlis berkaitan tadi.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mencadangkan Kerajaan Persekutuan menurunkan kuasa dan peruntukan tahunan sekurang-kurangnya RM100 juta atau pulangan 20 peratus hasil cukai dari negeri, memandangkan mutu pengurusan bencana di bawah Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini adalah lebih efisien berbanding Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Cadangan Guan Eng itu adalah susulan syor Kon Yeow sebelum ini yang mahu menubuhkan unit pengurusan bencana langsung di bawah Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Turut berucap, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari dan Pengarah JPS Negeri Pulau Pinang, Ir. Zainuddin Yusoff.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Mohamed Yunus; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal; ADUN Bagan Dalam, M. Satees dan pemangku Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Baderul Amin Abdul Hamid turut hadir dalam majlis tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD