RM3 juta baik pulih bangunan warisan Kategori 2 milikan MBPP

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : LAW SUUN TING

GEORGE TOWN – Sebanyak enam unit bangunan dekat Lebuh Kimberley yang dikategorikan sebagai Bangunan Warisan Kategori 2 di Tapak Warisan Dunia George Town kini dalam proses dibaik pulih.

Projek membaik pulih bangunanbangunan milikan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang masingmasingnya di premis bernombor 94, 96, 98, 100, 102 dan 102A adalah merupakan kerjasama di antara MBPP, George Town World Heritage Incorporated (GTWHI), Think City Sdn. Bhd. (ThinkCity), Penang Heritage Trust (PHT) dan Penang Apprenticeship Programme for Artisans (PAPA).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapan pelancarannya berkata, satu penilaian struktur telah dijalankan oleh MBPP pada 2007 dan mendapati bahawa semua struktur bangunan berada dalam keadaan usang serta mengalami kerosakan ketara.

“Bangunan-bangunan ini merupakan bangunan warisan Kategori 2 yang terletak di dalam Zon Penampan Tapak Warisan Dunia George Town dengan gaya Senibina Eklektik ‘Cina Selatan’.

“Daripada penilaian yang dijalankan ke atas bangunan berusia lebih 100 tahun ini, didapati terdapat keretakan dinding pemisah yang teruk dan struktur lantai kayu serta papan di bahagian atas bangunan telah pun reput.

“Selepas kerja-kerja menaik taraf keenam-enam unit bangunan ini siap, ia akan diubah suai kepada lapan ruangan baharu yang mana bangunan beralamat 34, 36, 102 dan 102A akan dibahagikan kepada enam ruangan.

“Manakala, unit 98 dan 100 masing-masing akan turut dibaik pulih sebagai rumah kedai yang bakal didiami dua penghuni berasingan,” jelasnya pada majlis pelancarannya di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Teh Lai Heng (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Komtar), Lau Keng Ee (ADUN Pengkalan Kota), Ng Wei Aik (Ahli Parlimen Tanjung), Ar. Yew Tung Seang (Setiausaha Bandaraya) dan Noorhanis Noordin (Pengarah Warisan MBPP).

Difahamkan, kos projek berkaitan menelan belanja sebanyak RM3 juta yang mana kerja-kerja menaik taraf telahpun bermula pada pertengahan Februari lalu dan dijangka siap pada Jun 2018.

Dalam pada itu, Tung Seang ketika berucap menjelaskan bahawa kerja-kerja membaik pulih perlu dijalankan mengikut tatacara kerja pembaikan dan pemuliharaan yang betul iaitu mengikut peraturan warisan selaras dengan Rancangan Kawasan Khas Tapak Warisan Dunia George Town yang telah diwartakan pada 1 September 2016.

“Selain dari kerja-kerja membaik pulih dan pengubahsuaian secara fizikal, projek ini juga menerapkan kriteria Green Building Index (GBI),” jelasnya.