Projek tebatan banjir Taman Iping dijangka siap Januari 2021

BATU MAUNG – Projek rancangan tebatan banjir (RTB) dan saliran Sungai Nipah dekat Taman Iping di sini yang menelan kos kira-kira RM15.27 juta bakal siap sepenuhnya pada pertengahan Januari 2021.

Sim Tze Tzin.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin memberitahu bahawa projek berkenaan apabila siap kelak bakal mengurangkan risiko banjir kilat di seluruh kawasan Batu Maung khususnya kawasan perumahan Taman Iping serta kawasan perindustrian di sini.

“Kedua-dua projek ini telah mencapai kemajuan 85 peratus yang mana ia merangkumi beberapa komponen iaitu pembinaan rumah pam di Taman Iping dan Taman Iping 2 serta menaik taraf sistem saliran sedia ada.

“Apabila kedua-dua rumah pam ini siap kelak, ia akan bertindak menyedut air yang mengalir dari bukit dengan cepat untuk dilepaskan ke laut dan sungai,” katanya kepada Buletin Mutiara semasa mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan dekat Taman Iping di sini sebentar tadi.

Tze Tzin berkata, pembangunan projek ini lebih mesra alam kerana ia dibina tanpa menjejaskan keseluruhan pokok paya bakau yang ada di sekitar tapak pembinaan kedua-dua rumah pam tersebut.

Dua skru pam dipasang di projek RTB Taman Ipin bagi menyedut air untuk dialirkan ke laut.

“Semasa proses perbincangan untuk memulakan projek ini saya minta pihak Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Pulau Pinang untuk mengekalkan sebanyak mungkin pokok paya bakau yang ada di sini.

“Oleh itu, JPS hanya menebang kurang daripada 100 batang pokok paya bakau bagi pelaksanaan projek ini,” ujarnya lagi.

Difahamkan, projek berkaitan bakal melibatkan kerja-kerja menaik taraf saliran sedia ada sepanjang 600 meter (m), parit monsun (650m), crossing (65m) di sebuah lokasi, pembinaan dua rumah pam baharu, pembinaan kolam takungan dan pengalihan utiliti.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI