Projek terowong dasar laut: Kerajaan Negeri akan teliti cadangan SPPP

Admin
tkm0418l

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meneliti segala cadangan Pelan Induk Pembangunan Pelabuhan Pulau Pinang yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sebelum ini, Kerajaan Negeri tidak dapat memuktamadkan kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut kerana masih menunggu pelan induk daripada SPPP membabitkan pembesaran kemudahan di Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT).

Baru-baru ini, pihak SPPP telahpun membentangkan pelan induk melibatkan pembesaran beberapa kemudahan dan meningkatkan kapasiti di pelabuhan bagi menampung keperluan masa hadapan kepada Exco.

“(Dan) pihak Jawatankuasa Pemandu di bawah Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari akan meneliti cadangan yang dikemukakan oleh SPPP itu,” ujarnya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Menurut Kon Yeow, Jawatankuasa Pemandu juga akan mengadakan perbincangan lanjut sebelum mengemukakan sebarang syor berkaitan untuk pertimbangan Kerajaan Negeri dan seterusnya mencapai keputusan akhir.

“Sama ada projek terowong ini akan diteruskan atau meminda jajaran atau reka bentuk saya percaya Jawatankuasa Pemandu akan membuat syor untuk pertimbangan Kerajaan Negeri kelak,” katanya.

Pada November 2023, Zairil memaklumkan bahawa antara pertimbangan untuk pelaksanaan projek terowong dasar laut ini adalah kedudukan jajaran terowong yang tidak akan menjadi gangguan atau halangan terhadap pembesaran kemudahan dermaga.

Projek terowong dasar laut menghubungkan kawasan Persiaran Gurney di bahagian pulau ke Bagan Ajam di Seberang Perai, merupakan Pakej 4 di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di negeri ini.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING