Promosi program ILP perlu diperluas, elak pelajar lepasan SPM dimanipulasi kolej swasta – ADUN

Admin

BAGAN DALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees menyarankan agar Kerajaan Persekutuan mempergiatkan lagi promosi berkaitan program-program yang ditawarkan di Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) kepada pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negara ini.

Menurutnya, langkah itu penting bagi mengelakkan pelajar-pelajar lepasan SPM yang gagal meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dimanipulasi oleh pihak kolej swasta dengan menawarkan kursus-kursus tidak diiktiraf.

M. Satees bergambar kenang-kenangan bersama-sama pegawai-pegawai dari ILJTM sempena program ILP Pilihan Bijak baru-baru ini.

“Hasil perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan baru-baru ini, saya dimaklumkan bahawa setiap tahun hampir 70,000 pelajar lepasan SPM tidak dapat meneruskan pelajaran ke peringkat seterusnya.

“Kebanyakan daripada mereka bertindak mengambil kursus-kursus tidak diiktiraf di kolej-kolej swasta yang adakalanya langsung tidak masuk akal dan menyebabkan pelajar-pelajar ini terpaksa menanggung hutang ribuan ringgit tanpa mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Justeru, saya merasakan kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk mempromosikan program-program yang ditawarkan oleh ILJTM khusunya Institut Latihan Perindustrian (ILP) serta institut-institusi latihan sedia ada lain kepada pelajar lepasan SPM,” jelasnya semasa merasmikan Program ILP Pilihan Bijak anjuran Pejabat ADUN Bagan Dalam, semalam.

Turut serta, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), K. Kumaran; Pengerusi-Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kawasan Bagan Dalam serta Pegawai-Pegawai dari ILJTM.

Difahamkan, sebanyak tujuh institut latihan kemahiran mengambil bahagian dalam program tersebut iaitu Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTI) Bukit Minyak; Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Taiping; ADTEC Kulim; ILP Kepala Batas; ILP Arumugam Pillai, Nibong Tebal; ILP Kangar serta ILP Perai.

Mengulas lanjut, Satees berkata, terdapat pelbagai institusi milik kerajaan di negara ini yang menawarkan kursus-kursus latihan berkualiti serta relevan dengan keperluan semasa.

“Bayaran masuk juga berpatutan iaitu dalam lingkungan RM700 sahaja dan kos selebihnya ditanggung oleh pihak kerajaan tetapi kemudahan ini gagal dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar kita kerana kurangnya pendedahan mengenainya,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS