PSC 19 peringkat KADUN Pinang Tunggal terima respons memberangsangkan

Admin

PINANG TUNGGAL – Program Penang Saring COVID-19 (PSC 19) peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pinang Tunggal yang berlangsung hari ini mendapat sambutan dan respons amat memberangsangkan daripada penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, keseluruhan jumlah saringan yang berjaya dilakukan adalah 1,363 sehingga 5.30 petang tadi.

“Alhamdulillah respons sangat menggalakkan, malah ada penduduk yang datang seawal jam 7 pagi lagi di sini meskipun program ini hanya bermula 8.30 pagi.

“Sehingga jam 10 pagi saya difahamkan daripada kira-kira 350 orang yang telah selesai menjalani ujian calitan, lapan (orang) daripadanya telah didapati positif dan diharuskan untuk melaksanakan ujian calitan kedua.

“Walaupun kita mengharapkan kesemua yang menjalani ujian calitan adalah negatif, namun syukur meskipun ada di antara yang positif, program ini telah berjaya mengenal pasti awal mereka-mereka ini sekali gus membendung potensi lebih ramai dijangkiti,” ujarnya yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.

Program PSC19 secara percuma anjuran Kerajaan Negeri itu berlangsung di Dewan Serbaguna Bandar Putra Bertam dengan menyasarkan penduduk Pinang Tunggal dan Parlimen Bertam khususnya.

Difahamkan bahawa, mereka yang didapati positif telah diarahkan menjalani ujian calitan kedua dan dipakaikan gelang untuk menjalani kuarantin di rumah sebelum keputusan akhir diperolehi dalam tempoh di antara 24 hingga 48 jam, manakala ahli keluarga terlibat juga telah dinasihati untuk menjalani kuarantin kendiri.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADUN