PSC19 kesan 123 kes positif

Admin

PAYA TERUBONG – Sebanyak 123 kes positif COVID-19 berjaya dikesan melalui program saringan massa, Penang Saring COVID-19 (PSC19) yang dijalankan di 11 lokasi ‘hotspot’ di negeri ini sejak 5 Julai lalu.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa jumlah tersebut adalah hasil daripada saringan ke atas 6,603 individu yang menjalani ujian saringan secara percuma setakat 22 Julai lalu.

“Pada peringkat awal, sebanyak 151 kes positif telah dikesan (melalui RTK-Antigen), dan menerusi ujian lanjut (RTK-PCR) yang dijalankan sebanyak 123 kes adalah positif manakala baki 24 ujian lagi adalah negatif.

Jagdeep Singh Deo bersama-sama Yeoh Sooh Hin ketika mengadakan sidang media berkaitan PSC19 pagi tadi.

“Walaupun jumlahnya tidak terlalu tinggi tetapi ini menunjukkan bahawa ujian saringan adalah penting untuk pengesanan dan pengasingan agar jangkitan COVID-19 tidak merebak,” katanya pada sidang media selepas memantau program PSC19 dekat Pasar dan Kompleks Makanan Taman Paya Terubong, di sini pagi ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong yang juga Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin.

Mengulas lanjut, Jagdeep memaklumkan bahawa seramai 2,000 individu disasarkan menjalani ujian saringan menerusi PSC19 di keenam-enam lokasi pada minggu ini termasuk di kawasan Paya Terubong.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 73 lagi kes positif telah dikesan menerusi saringan yang dijalankan ke atas 1,160 individu di dua lokasi pada 23 Julai 2021.

Program PSC19 peringkat KADUN Paya Terubong berjalan lancar dan menerima sambutan menggalakkan.

“Jumlah tersebut adalah hasil saringan ke atas 548 individu di Stadium Bandaraya, Datok Keramat yang telah mengesan sebanyak 14 kes positif manakala 534 lagi adalah negatif.

“Sementara itu, saringan ke atas 612 individu di Dewan Dato’ Haji Ismail Che’ Chik, Bakau Tua dekat Penaga pula telah mengesan 59 kes positif manakala 553 lagi adalah negatif,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Jagdeep turut menyeru agar penduduk di negeri ini tampil mendaftarkan diri melalui program PSC19 sebagai salah satu inisiatif untuk memutuskan rantaian COVID-19.

“Penduduk dan individu yang ingin membuat saringan boleh mendaftar untuk sesi saringan di lokasi yang dikehendaki di laman web https://penangsaring.selangkah.my atau melalui Pusat Khidmat ADUN masing-masing,” serunya lagi.

Difahamkan, dua lagi ujian saringan akan dijalankan pada esok (25 Julai) iaitu di Stadium Batu Kawan dan Dewan Serba Guna, Pasar & Kompleks Makanan Tanjung Bungah.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : TAN KEAN MENG