PSERCC inisiatif bangunkan semula ekonomi Pulau Pinang pasca COVID-19

Admin

GEORGE TOWN – Dalam usaha menempuh impak pasca COVID-19, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil inisiatif jangka panjang khas dengan menubuhkan Jawatankuasa Penang Socio Economic Recovery Consultative Council (PSERCC) yang bersidang buat kali pertama di sini tadi.

Jawatankuasa PSERCC yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow adalah terbahagi kepada empat fungsi utama iaitu, mengenal pasti isu ekonomi semasa; mengenal pasti isu dan cabaran yang menghalang pertumbuhan ekonomi; merangka strategi jangka pendek serta sederhana dan juga memastikan semua keputusan dilaksanakan dengan segera.

CHOW Kon Yeow.

Malah, struktur jawatankuasa kerja adalah terbahagi kepada enam sektor utama iaitu industri/IKS (Industri Kecil dan Sederhana/PKS (Perushaan Kecil dan Sederhana)/peruncitan; pasaran tenaga kerja; perumahan; infrastruktur dan pengangkutan; pelancongan serta industri makanan dengan keanggotaan daripada barisan pakar bagi sektor-sektor tersenarai.

Selain barisan kepimpinan Kerajaan Negeri, mereka dilantik ialah Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCIA), Datuk Seri Jebasingan Issace John; Ahli Lembaga Pengarah Penang Science Cluster & Penang Tech Centre, Datuk Seri Wong Siew Hai; Pengerusi Penang Port Sdn. Bhd., Datuk Syed Mohamad Aidid Syed Murtaza; Pengerusi Real Estate and Housing Developers’ Association (REHDA) Pulau Pinang, Datuk Toh Chin Leong; Pengerusi Malaysian Association of Hotel (Penang Chapter), Khoo Boo Lim; Ketua Pegawai Eksekutif Digital Penang, Tony Yeoh dan Pengarah Eksekutif Penang Institute, Datuk Dr. Ooi Kee Beng.

Bagi jawatankuasa Sektor Industri SMI/SME/Peruncitan, ia dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Sektor Pasaran Tenaga Kerja, Prof. Dr. P. Ramasamy; Sektor Perumahan, Jagdeep Singh Deo; Sektor Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari; Sektor Pelancongan, Yeoh Soon Hin dan Sektor Industri Makanan, Dr. Norlela Ariffin.

Serentak itu, Jawatankuasa Komunikasi dianggotai Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri Pejabat Ketua Menteri turut diwujudkan untuk hebahan dan publisiti PSERCC.

Mesyuarat yang dimulakan dengan pembentangan daripada badan pemikir negeri, Penang Institute berkongsi beberapa statistik penting yang kemudian memperoleh perhatian pengerusi dan juga ahli-ahli mesyuarat.

Impak ketara terhadap sektor pelancongan telah mendorong kepada maklum balas daripada Boo Lim yang mana kini memperlihatkan kepelbagaian promosi ditawarkan oleh pihak-pihak hotel kini.

Begitu juga sektor perumahan yang dikongsi Chin Leong yang mana menurut beliau pasaran kini adalah lembab serta rumit termasuk isu pinjaman yang dipercayai bakal menjadi semakin sukar dalam tempoh pasca pandemik ini. Situasi berkaitan, tambah beliau adalah memerlukan polisi khas daripada pihak-pihak berkaitan terutamanya kerajaan.

Fakta paling menarik adalah perkongsian impak COVID-19 terhadap ekonomi Pulau Pinang daripada NCIA terhadap Gross Domestic Product (GDP) atau Keluaran Dalam Negara Kasar yang dijangka mencatatkan kerugian bernilai RM10 bilion berbanding sasaran asal RM101 bilion bagi tahun ini. Malah, sektor pekerjaan mencatatkan ‘kerugian’ sebanyak 11 peratus iaitu membabitkan 92,700 pekerjaaan.

Penurunan GDP paling ketara adalah dalam sektor pelancongan yang mana impak terhadap pelancongan antarabangsa adalah penurunan sebanyak 60 hingga 80 peratus.

“Secara keseluruhan, sektor agrikultur dan pembuatan dilihat sebagai ‘winning sector‘ manakala ‘losing sector‘ adalah pelancongan dan sektor logistik serta keterhubungan,’’ jelas Jebasingan Issace.

Sebagai rumusan dalam perbincangan yang berlangsung dalam tempoh lebih daripada dua jam berkaitan, Kon Yeow meminta enam jawatankuasa kerja supaya memulakan perbincangan di pihak jawatankuasa masing-masing dan kembali dengan struktur serta strategi pelan bagi tindakan lanjut.

“Turut menjadi tumpuan adalah infrastruktur digital yang dilihat mampu mentransformasikan negeri Pulau Pinang dalam menghadapi pasca pandemik ini.

Tidak dinafikan juga adalah pelancongan domestik yang dilihat mampu menjadi ‘penyuntik’ kepada GDP negeri dan mampu membantu dalam pembangunan semula ekonomi negeri.

“Ini kerana, Pulau Pinang masih dilihat sebagai lokasi pilihan dalam kalangan warganegara dan perkembangan sektor ini dilihat agak positif dalam tempoh terdekat kini,’’ ulasnya sambil menangguhkan mesyuarat petang tadi.

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI