PSFF rekod 240,000 pengunjung

LUAR JANGKAAN… Festival Makanan Jalanan Pulau Pinang atau Penang Street Food Festival (PSFF) yang berlangsung pada 1 dan 2 September lalu mendapat sambutan luar jangkaan apabila kira-kira 240,000 pengunjung membanjiri tapak penganjurannya di Lebuh Pantai.

Jumlah tersebut sekaligus melepasi rekod 120,000 pengunjung yang dicatatkan pada penganjuran Festival Makanan Jalanan dan Pesta Makanan Antarabangsa Pulau Pinang pada 15 April 2017.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, dengan variasi makanan Pulau Pinang yang sangat terkenal, penganjuran tersebut diharap mampu meletakkan nama negeri ini di peta dunia.

“PSFF merupakan jenama baharu bagi produk pelancongan Pulau Pinang yang mendapat sambutan cukup hebat.

“Pulau Pinang sememangnya terkenal dengan dua perkara, iaitu makanan jalanan yang sedap dan masyhur serta kepelbagaian seni
dan budaya yang terdapat di sekitar kawasan George Town.

“Rasa unik pada setiap hidangan ini akan menjadikannya kenangan dan rasa rindu untuk anda (pengunjung) kembali ke Pulau Pinang!” katanya ketika merasmikan upacara perasmian penganjuran berkaitan baru-baru ini.

Penganjuran edisi kedua tersebut menampilkan 112 gerai yang menawarkan pelbagai menu makanan Melayu, India, Cina, Peranakan,
Hainan dan Arab.

Antara juadah menarik ialah daging harimau menangis; mee udang yang didatangkan khas dari Pulau Aman dan Batu Ferringhi; laksa; char kuetiau, pasembur dan pelbagai lagi.