PSI, pengurangan 49% berbanding perancangan diluluskan – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil pendekatan untuk mengurangkan keluasan pembangunan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau atau Penang South Islands (PSI) dengan mengambil kira saranan Perdana Menteri supaya skop pembangunan pulau terbabit diperkecilkan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, setelah mengadakan perbincangan dengan rakan pelaksana projek, SRS Consortium (SRS) dan barisan Exco melalui Mesyuarat Exco semalam, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan untuk mengurangkan saiz dari 4,500 ekar kepada 2,300 ekar, iaitu pengurangan sebanyak 49 peratus berbanding perancangan yang diluluskan.

“Pengurangan saiz ini bermaksud hanya ‘Pulau A’ atau dikenali sebagai ‘Silicon Island’ seluas 2,300 ekar sahaja akan dilaksanakan dalam dua fasa (manakala) ‘Pulau B’ seluas 1,400 dan ‘Pulau C’ (800 ekar) tidak akan diteruskan,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar pada 11 Mei 2023.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC), Dato’ Seri Farizan Darus; Ketua Seksyen Pengangkutan, Dato’ Lim Hock Seng; Pengarah Projek SRS, Szeto Wai Loong dan Timbalan Pengarah Projek SRS, Azmi Mohamad.

PULAU A atau dikenali sebagai ‘Silicon Island’.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa kini hanya 115 nelayan dari unit Permatang Tepi Laut terlibat secara langsung dengan pembangunan ‘Silicon Island’ berbanding 496 orang dari empat unit nelayan di kawasan terbabit sebelum ini.

“Seramai 115 nelayan dari unit Permatang Tepi Laut yang berhadapan dengan tapak tambakan ‘Silicon Island’ terlibat secara langsung berbanding sebelum ini.

“(Dan) secara keseluruhan, jangka masa pembangunan ‘Silicon Island’ adalah selama 20 tahun,” katanya yang bakal mengumumkan kaedah pembiayaan bagi pulau tersebut kelak.

Sementara itu, Wai Loong ketika menjawab pertanyaan media memberitahu bahawa kos tambakan bagi pulau terbabit dianggarkan sebanyak RM6 bilion manakala kerja-kerja pembangunan infrastruktur pula adalah sebanyak RM2.5 bilion.

“PIC selaku pihak berwajib bagi pembangunan tersebut akan memastikan pihak pemaju mematuhi segala syarat-syarat pembangunan yang ditetapkan termasuk (menerapkan) eleman amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.

FASA pertama pembangunan ‘Silicon Island’.

Difahamkan, pembangunan ‘Silicon Island’ akan dilaksanakan dalam dua fasa yang mana fasa pertama berkeluasan 1,300 ekar dijangka mengambil masa antara tujuh hingga 10 tahun, manakala fasa kedua pula merangkumi keluasan 1,000 ekar.

Selain itu juga, komponen seperti cadangan tapak depoh projek Transit Aliran Ringan (LRT) akan dikekalkan di ‘Silicon Island’ termasuk pembangunan perumahan, komersial, institusi, ‘Green Tech Park’ (GTP) dan ‘Heart of the Island’ (HOTI) yang bakal menjadi pemangkin ekonomi serta pelancongan bagi negeri Pulau Pinang.

Sebagai rekod, Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi PSI yang diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 11 April lalu adalah meliputi tiga buah pulau seluas 4,500.

Dalam perkembangan berkaitan, sebagai respons berhubung projek LRT, Kon Yeow memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan menyediakan laporan terkini merangkumi perkembangan semasa projek berkenaan kepada Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Susulan (pengumuman Perdana Menteri mengenai) komitmen dana tambahan (bagi pelaksanaan projek LRT Bayan Lepas) daripada Kerajaan Persekutuan, maka Kerajaan Negeri akan menyediakan laporan berkaitan untuk diserahkan kepada Perdana Menteri dan kementerian terlibat.

“(Dan) dengan perubahan terbaru ini, Kerajaan Negeri akan mengemukakan cadangan untuk membina depoh LRT di ‘Silicon Island’ bagi mengelakkannya dibina di kawasan penempatan penduduk yang padat.

“Sebelum ini, pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) selaku badan selia (projek LRT) hanya memberikan kelulusan bersyarat dan berharap dengan perkembangan terkini, pihak APAD dapat mempertimbangkan kelulusan cadangan Kerajaan Negeri ini,” jelasnya.

Pada masa sama, Kon Yeow berharap agar pihak Kerajaan Persekutuan dapat melibatkan Kerajaan Negeri dalam perbincangan teknikal yang bakal diadakan nanti.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : SIEW CHIA EN