PSR: Kerajaan Negeri teliti cadangan tuntutan persatuan nelayan dan jalankan rundingan

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil maklum akan tuntutan yang dibuat oleh para nelayan berhubung pemberian saguhati bagi pelaksanaan projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR).

Malah, turut menghormati pendirian pihak yang berkumpul di luar bangunan Parlimen di Kuala Lumpur semalam bagi membantah pelaksanaan projek PSR berkaitan dan bersedia untuk berunding dengan yang berkaitan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, dalam mesyuarat tertutup yang dihadiri oleh Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Setiausaha Politik beliau, Teh Lai Heng pada 31 Mei 2019 di Komtar, wakil Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen-Mutiara) ada menyerahkan senarai cadangan tuntutan berhubung projek (PSR) tersebut.

“Dalam kertas kerja yang diserahkan itu, pihak persatuan mencadangkan agar Kerajaan Negeri mengambil kira nelayan yang terjejas secara langsung dengan kerja-kerja tambakan di zon penampan sekitar Teluk Tempoyak, Batu Maung, Seri Jerejak dan Pulau Betong.

“(Dan) secara ringkasnya, pihak persatuan mencadangkan agar pemilik bot atau tekong diberikan bot transformasi (di bawah Transformasi Bot Nelayan) dan rumah kos rendah yang boleh dibeli melalui skim sewa beli.

“Bagi awak-awak juga, mereka (persatuan) juga menuntut rumah kos rendah yang boleh dibeli melalui skim sama,” ujarnya kepada pemberita dalam sidang media di Komtar tengah hari tadi.

Menurut Kon Yeow, selain itu, pihak Persatuan Nelayan Pulau Pinang juga mencadangkan agar sebuah jeti sementara dibina dan pembinaanya mestilah mematuhi aspek keselamatan serta mengambil kira pandangan pihak persatuan mengenai reka bentuknya.

“Saya percaya jawatankuasa pasukan petugas (taskforce) nelayan yang diketuai oleh Dr. Afif (Afif) akan meneliti semua cadangan tersebut serta merujuk kepada agensi berwajib seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk peringkat seterusnya.

“(Dan) ia merupakan sebahagian proses…sama seperti mana-mana projek pembangunan lain sebelum ini.

“Begitu juga impak terhadap nelayan serta kelayakan penerima saguhati akan dilihat dengan terperinci, dan kita (Kerajaan Negeri) tidak akan meminggirkan mana-mana pihak sepanjang proses rundingan serta pelaksanaan projek ini.

“Saya percaya para nelayan juga memahami hasrat Kerajaan Negeri dan faham pelaksanaan projek ini berdasarkan tuntutan yang dibuat mereka.

“Hal ini kerana, kerja-kerja tambakan hanya dilakukan di laut dan tidak melibatkan kampung-kampung nelayan di kawasan terbabit,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu mendapatkan kelulusan bagi projek berkaitan.

DR. Afif Bahardin.

Dalam pada itu, Afif yang turut serta dalam sidang media tersebut memaklumkan bahawa jawatankuasa pasukan petugas nelayan sudah lama diwujudkan iaitu sejak projek ini dirancang.

“Sebelum ini, mantan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Batu Maung, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim mengetuai pasukan petugas ini dan beberapa inisiatif telah diambil termasuk menubuhkan pusat sehenti di dua lokasi bagi memberi maklumat kepada umum dan mendapatkan maklum balas mengenai projek PSR ini.

“Sejak Mei tahun lalu, tugas tersebut telah diserahkan kepada saya dan pasukan petugas yang ada kini sudah ambil maklum semua maklum balas termasuk rundingan yang telah diadakan.

“(Dan) pada bulan September ini, saya akan adakan mesyuarat bersama-sama wakil persatuan nelayan yang mana sekarang ini ahli-ahli jawatankuasa pasukan petugas ini perlu mengkaji semua pilihan yang ada termasuk tuntutan saguhati dan sebagainya yang boleh diberikan,” ulasnya.

Terdahulu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah memberikan kelulusan bagi Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) Terperinci berserta 72 syarat dan nasihat untuk dipatuhi oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Walau bagaimanapun, perincian berhubung syarat-syarat tersebut masih perlu diteliti dengan terperinci sebelum kenyataan lanjut dibuat.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN