PTFC berpotensi sumbang RM12.1 bilion kepada KDNK, sokong 71,000 pekerjaan

Admin
tkm1105h

GEORGE TOWN – Cadangan penubuhan Penang Technology Finance Centre (PTFC) berpotensi menyumbang sebanyak RM12.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menyokong lebih 71,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 15 tahun.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, PTFC dicadangkan bagi melengkapkan kekuatan industri elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor Pulau Pinang menerusi penyediaan kemudahan pembiayaan yang memenuhi keperluan syarikat tempatan.

Menurut beliau, inisiatif tersebut bertujuan menyokong peralihan daripada konsep ‘Made in Malaysia’ kepada ‘Made by Malaysia’ melalui pembangunan serta pemilikan teknologi dan harta intelek tempatan.

“PTFC akan memberi tumpuan kepada pembiayaan teknologi keras (hard-tech), teknologi mendalam (deep-tech), modal teroka, ekuiti persendirian dan rantaian bekalan dengan menggembleng modal domestik serta antarabangsa.

“Pendekatan ini diharap dapat membantu syarikat tempatan berkembang dan meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa,” ujarnya ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengenai inisiatif berkaitan di sini pada 5 November 2026.

Mengulas mengenai keunikan cadangan tersebut, Kon Yeow memberitahu bahawa PTFC berfungsi sebagai platform pembiayaan khusus berteraskan industri teknologi yang melengkapi pusat kewangan sedia ada seperti Tun Razak Exchange (TRX), Labuan dan Forest City, bukannya bersaing dengan pusat-pusat berkenaan.

Jelas Kon Yeow, cadangan itu juga tidak berteraskan pembangunan hartanah atau memerlukan penubuhan pengawal selia baharu kerana bidang kuasa sedia ada Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia akan dikekalkan.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa PTFC berpotensi menjana hasil kepada Kerajaan Negeri menerusi sewaan aset, dividen penyertaan ekuiti serta perkongsian hasil usaha sama.

“Justeru, kajian oleh PwC perlu memperincikan sumber hasil, kaedah penyaluran kepada negeri serta kos dan risiko yang ditanggung bagi menilai pulangan bersihnya.

“PwC turut mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri, ahli akademik, pakar ekonomi dan pihak berkepentingan bagi mendapatkan pandangan serta mengenal pasti keperluan sebenar pelaksanaan PTFC.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga bersedia melibatkan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri pada masa yang bersesuaian bagi mendapatkan pandangan dan cadangan untuk memperkukuh hala tuju inisiatif tersebut,” ulasnya lanjut.

Kon Yeow sebelum ini menyambut baik sokongan Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan PTFC, termasuk pengumuman Dana Pelaburan Strategik berjumlah RM100 juta menerusi kerjasama Khazanah Nasional dan InvestPenang.

Tambah beliau, PTFC dirangka untuk melengkapi ekosistem kewangan sedia ada dengan menghubungkan pasaran modal kepada sektor teknologi dan pengetahuan strategik negara.

Platform itu juga akan menyokong syarikat tempatan sepanjang proses pembentukan modal, bermula daripada peringkat inkubasi dan pengkomersialan hingga penyenaraian awam, sekali gus menyediakan laluan lebih jelas kepada syarikat pemula untuk berkembang.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & DARWINA MOHD. DAUD