PTG capai matlamat bantu gelandangan kembali dalam masyarakat

Admin
photo 2024 03 01 11 53 15 (2)

SETELAH mula beroperasi pada pertengahan Jun 2023, Pusat Transit Gelandangan (PTG) di Jalan C.Y Choy telah berbakti kepada 236 orang gelandangan yang mencari perlindungan di situ.

 

 

Ini belum termasuk individu-individu yang hadir secara harian untuk mendapatkan makanan percuma hasil sumbangan daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO).

 

Ketika menerima kujungan penulis Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, SIEW CHIA EN, PTG sedang diduduki seramai 32 orang penghuni.

 

photo 2024 03 01 11 53 15 (3)

Kunjungan Buletin Mutiara disambut oleh Pengurus PTG, NAZATULWANIS MOHD. KHORISH dan Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), MUHAMAD FIRDAUS MAZLAN.

 

 

Menurut Nazatulwanis, konsep di PTG adalah untuk membantu golongan gelandangan dari segi pelindungan, kebersihan, keselamatan dalam meneruskan kehidupan sebagai sebahagian daripada masyarakat.

 

“Namun kami tidak boleh memaksa mereka untuk tinggal di sini sekiranya mereka ditangkap melalui operasi, ada juga yang masuk pagi, petang atau malam sudah hilang.

photo 2024 03 01 11 53 14 (1)

“Ada juga yang tidak mahu keluar dan lebih selesa tinggal di sini kerana diakui di sini lebih selesa dan agak lengkap dengan kemudahan.

 

 

“Apa yang kami bantu di sini adalah dari segi padanan kerja, mencari tempat tinggal baharu sekiranya mereka agak stabil dan pemantauan secara berterusan dilakukan dengan pihak majikan.

 

 

 

“Tidak terkecuali juga kita bantu pengurusan untuk masuk ke rumah-rumah kebajikan bagi kes tertentu seperti warga emas, hilang upaya dan kes-kes berkaitan,” ujar Nazatulwanis.

 

 

PTG lazimnya menggunakan soft approach kepada golongan-golongan gelandangan yang dilihat mampu dipulihkan untuk kembali dalam masyarakat sebagai insan normal.

 

Antaranya, adalah inisiatif mewujudkan perkhidmatan mencuci motosikal serendah RM4 di PTG.

 

“Jadi bila dia dapat duit, dia mula seronok dan akan bersemangat untuk bekerja dan dapatkan duit.

“Di sini kita kena mula bina semula motivasi mereka untuk bekerja, sebab sebelum ini mengemis lebih mudah untuk dapatkan duit,” maklum beliau lagi.

 

photo 2024 03 01 11 53 15 (5)

Dalam melaksakan perkara itu, Muhamad Firdaus pula berkata, JKM turut memainkan peranan dalam ‘memujuk’ gelandangan agar mereka tidak kembali semula kepada kehidupan jalanan.

 

 

“Pemantauan kita akan sentiasa lakukan, ini termasuk dengan majikan di mana bekerja dari segi tingkah laku dan kalau ada apa-apa majikan akan lapor kepada kami.

 

 

“Selalunya pasaran kerja yang terlibat adalah pengawal keselamatan dan kerja-kerja pembersihan.

 

photo 2024 03 01 11 53 15

“Apa yang mengejutkan adalah apabila pihak polis ketika lawatan ke sini memaklumkan bahawa ada di antara penghuni yang pernah terlibat jenayah dan sebagainya, alhamdulillah dia tinggal di sini seolah-olah macam orang biasa tanpa menimbulkan kekacauan,” ulas Muhamad Firdaus.

 

Menyentuh mengenai aspek keselamatan, PTG kini dijaga oleh dua orang pengawal keselamatan secara syif pada satu-satu masa.

 

 

“Pihak polis juga kerap mengadakan rondaan di sini dengan kerap dalam memastikan keadaan lebih terkawal,” ujarnya.

 

 

Menyentuh mengenai keperluan, PTG beruntung kerana syarikat pakaian terkenal UNIQLO telah bekerjasama membantu gelandangan.

 

 

Konsep di PTG juga tidak menyediakan makanan kepada gelandangan sebaliknya makanan disumbangkan oleh NGO tanpa pernah putus.

 

“Cuma sekali dua pernah terputus akibat cuti umum, jadi kita gunakan stok bekalan kita sendiri kerana di sini memang tidak akan ada penyediaan makanan.

 

“Makanan di sini tidak pernah terbazir, hari-hari habis tetapi kami juga terima sekiranya ada orang luar yang tidak berkemamapuan untuk datang dan makan.

 

“PTG turut berhubung rapat dengan komuniti rumah pangsa berhampiran, kalau ada lebihan makanan kami akan telefon dan mereka datang untuk makan,” jelas Firdaus yang menganggarkan 100 hingga 150 individu datang menjamu selera di situ pada setiap sesi.

 

 

Selain makanan, PTG bekerjasama dengan NGO dan pihak hotel untuk dapatkan kit pembersihan dalam menjamin kebersihan dalam kalangan gelandangan.

 

Lebih menarik, Nazatulwanis memberitahu bahawa ada kalangan ‘alumni’ yang kembali ke sini untuk belanja makan serta lain-lain keperluan kepada penghuni di PTG.

 

“Statistik menunjukkan 35.7 peratus penghuni berjaya mendapat pekerjaan dan tempat tinggal, 26.2 peratus lagi terpaksa meniggalkan PTG kerana melanggar peraturan dan 14.3 peratus keluar tanpa kebenaran.

 

 

“Baki sebanyak 7.3 peratus lagi telah pulang ke pangkuan keluarga, 4.8 peratus (dua kes meninggal dunia), 9.4 peratus (bersama NGO) dan 2.4 peratus (tamat menginap).

 

 

“Pulau Pinang menjadi penghuni teramai dengan jumlah 63.12 peratus, Kedah (10 peratus), Perak (8 peratus), Selangor (5.9 peratus) dan Melaka (2.9 peratus),” maklumnya lagi.

 

 

Menyentuh mengenai perancangan masa hadapan, beliau berkata PTG akan bekerjasama dengan pihak NGO untuk mendapatkan bahan mentah untuk dimasak dan dihantar semula ke sini.

 

 

Bagi yang ingin menyampaikan bantuan, boleh menghubungi melalui WhatsApp di talian 014-790 4744.