PTMP memang melibatkan perunding antarabangsa, respons Zairil

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sememangnya telah melibatkan para perunding antarabangsa dalam perancangan projek-projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bagi memastikan pelaksanaannya memenuhi objektif pembangunan mampan.

 

Exco Infrasturktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, perkara yang perlu difahami adalah segala cadangan projek-projek infrastruktur yang terkandung dalam PTMP adalah berbentuk cadangan.

 

“Ini bermakna pelaksanaan perancangan dalam proposal tersebut tidak semestinya diikut ‘bulat-bulat’ kerana bergantung kepada keadaan semasa.

 

“Sebagai contoh bagi perancangan perkhidmatan teksi air di Pulau Pinang, kita (Kerajaan Negeri) juga meletakkan syarat supaya syarikat terbabit menyediakan laporan awal kebolehlaksanaan pelaksanaan projek tersebut.

 

“Lagipun, PTMP ini dirangka sejak beberapa tahun lalu dan mesti ada perubahan, jadi semasa pelaksanaannya akan ada kajian lanjut dilakukan untuk memastikan kebolehlaksanaannya,” ujarnya pada sidang media di Komtar pada 9 Disember 2022.

 

Zairil berkata demikian sebagai respons terhadap soalan wartawan berhubung cadangan yang dikemukakan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar di negeri ini yang mahu Kerajaan Negeri mengkaji semula pelaksanaan PTMP dengan memasukkan penyertaan pakar antarabangsa.

 

Menurut Zairil lagi, pelaksanaan PTMP merupakan suatu bentuk pelaburan infrastruktur untuk rakyat dengan mengambil kira faktor-faktor seperti penjanaan peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi yang membantu pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar untuk Pulau Pinang pada masa hadapan.

 

Terdahulu, dilaporkan bahawa NGO berkaitan mencadangkan supaya penyertaan pakar antarabangsa perlu dalam mencari penyelesaian mampan bagi projek-projek mega yang melibatkan kos besar, juga, dapat menamatkan pertikaian mengenai projek berkenaan.

 

Sebagai rekod, PTMP merupakan pelan strategi pengangkutan yang komprehensif, bersepadu dan cekap yang akan memberi kemudahan kepada rakyat Pulau Pinang dengan menyediakan pelbagai mod pengangkutan seperti aliran transit ringan (LRT), transit aliran bas (BRT), trem, teksi, ‘e-hailing’, feri dan teksi air.

 

Objektif utama PTMP adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas; meningkatkan keberkesanan dan kesinambungan untuk penduduk bergerak menggunakan pelbagai mod pengangkutan; meningkatkan taraf hidup dan keselesaan penduduk; meningkatkan daya tarikan Pulau Pinang sebagai destinasi percutian dan perdagangan yang ideal serta mengekalkan budaya sekeliling bagi memperkukuhkan semangat muhibbah.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS