PTSP-3 kini beroperasi, jadi komponen strategik bekalan air sehingga 2025

Admin

GEORGE TOWN – Saluran paip dasar laut berkembar ketiga Pulau Pinang (PTSP-3) sebagai komponen utama pelan kontigensi berterusan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Sdn. Bhd. dalam memastikan kecukupan bekalan air di negeri ini kini telah beroperasi sepenuhnya mulai 19 November 2020.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Berhad dan PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa berkata bahawa PTSP-3 menyalurkan sehingga 315 juta liter sehari (JLH) air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di Seberang Perai ke Kolam Air dan Rumah Pam Bukit Dumbar di bahagian pulau negeri ini.

 

 

“Dari Bukit Dumbar, air terawat ini akan dipam ke kawasan selatan pulau yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi dan merupakan kawasan penting daripada segi ekonomi termasuk Kawasan Perindustrian Bayan Lepas.

 

 

“(Dan) air terawat ini boleh dipam untuk sampai sehingga ke Balik Pulau bagi memastikan bekalan air berterusan terutama ketika musim kering berpanjangan,” ujarnya melalui kenyataan media bertarikh 31 Mac 2021 di sini.

 

 

Tambah Jaseni, pada tahun 2020, purata penggunaan air setiap hari di bahagian pulau adalah 368 JLH atau 43.6 peratus daripada jumlah penggunaan negeri iaitu 845 JLH.

 

 

“Pengoperasian PTSP-3 kini membolehkan penyaluran sebanyak 708 JLH yang mana kapasiti maksimum PTSP pertama (PTSP-1) adalah sebanyak 143 JLH, PTSP -2 (250 JLH) dan PTSP-3 (315 JLH).

 

 

“(Dan) sepanjang tempoh 48 tahun (iaitu ketika pengoperasian PTSP-1 pada tahun 1973), purata penggunaan air di negeri ini meningkat 394 peratus iaitu daripada 93.3 JLH (1973) kepada 368 JLH (2020),” katanya yang turut berikrar untuk mengekalkan bekalan air yang berterusan di Pulau Pinang terutama ketika berdepan cabaran perubahan iklim dan juga pasca pemulihan pandemik COVID-19.

 

TAPAK projek PTSP-3 di bahagian pulau berdekatan Macallum.

 

Menurut Jaseni, selain berupaya meningkatkan keselamatan bekalan air untuk semua pengguna domestik dan perniagaan di Pulau Pinang meskipun ketika berlakunya perubahan iklim mahupun peningkatan permintaan air di bahagian pulau, PTSP-3 juga berperanan sebagai pelan mitigasi risiko air mentah pada musim kemarau berpanjangan.

 

 

“Dengan lebih banyak air tersedia melalui PTSP-3, PBAPP mempunyai pilihan untuk meminimumkan pengeluaran dari Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang setiap hari pada musim kemarau.

 

 

“Hal ini akan memanjangkan simpanan dua empangan sehingga hujan turun untuk mengisi semula empangan daripada bulan September sehingga Disember setiap tahun.

 

 

“Malah dengan pengoperasian PTSP-3 dan Empangan Mengkuang (yang diperbesarkan dan diserahkan kepada Pulau Pinang pada 26 Oktober 2020), maka dua komponen strategik bekalan air ini memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko kekurangan air sehingga tahun 2025.” jelasnya.

 

 

Sebagai rekod, projek PTSP-3 dimulakan pada 3 Oktober 2016 dengan jumlah kos sebanyak RM114.3 juta dan merangkumi empat pakej kerja iaitu Pakej 1 melibatkan pemasangan 0.9 kilometer (km) saluran paip 1,800 milimeter (mm) di kawasan Macallum; Pakej 2A dan 2B adalah pemasangan 0.4km saluran paip 1,800mm di Butterworth masing-masing serta Pakej 3 melibatkan pemasangan 3.2km saluran paip dasar laut berkembar 1,200mm di selat antara kawasan Macallum dan Butterworth.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : PBAPP