PTSR mercu tanda Pulau Pinang negeri Berkebajikan dan Keusahawanan

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

PROGRAM Titian Saksama Rakyat (PTSR), iaitu skim pinjaman mikro kredit tanpa riba diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri hari ini sejak tahun 2009. PTSR begitu banyak membantu usahawan mengembangkan modal perniagaan masing-masing, sekaligus skim tersebut menjadi mercu tanda Pulau Pinang sebagai negeri Berkebajikan serta Keusahawanan.

Sehingga kini, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah mengagihkan kira-kira RM13.5 juta dana PTSR kepada 2,835 penerima, terdiri oleh pelbagai bangsa dan latar belakang keusahawanan berbeza-beza.

Direkodkan, 83.5 peratus penerima skim berkaitan adalah usahawan Melayu, sungguhpun Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang di bawah pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng digambarkan pembangkang kononnya anti-Islam dan anti-Melayu. Baki, 8.2 peratus lain adalah usahawan Cina dan India (8.3 peratus).

RAHAYU ABDUL RAHIM, 42, pengusaha kedai butik busana wanita “Ayu Jelita” sudah kali ketiga membuat pinjaman mikro kredit PTSR.

“Kali pertama, saya diberi pinjaman RM5,000 sahaja. Kerana rekod pinjaman bayar balik pinjaman tanpa riba ini ‘bersih’, saya ditawarkan pinjaman kali kedua sejumlah RM10,000.

“RM15,000 pinjaman PTSR baru-baru ini adalah kali ketiga, terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas kepercayaan memberi bantuan pinjaman modal kepada usahawan wanita seperti saya,” katanya ketika diwawancara di Kompleks PDC dekat Bayan Baru di sini 12 Februari 2018. Berbekalkan modal PTSR berkenaan, Rahayu memberitahu,

“Ayu Jelita” kini sudah mempunyai tiga lot kedai butik, iaitu di Pasar Raya Giant Cawangan Bayan Lepas dan Cawangan Sungai Petani serta Pasar Raya Besar Mydin Bertam, Seberang Perai Utara (SPU).

“Tudung bawal berkualiti jenama ‘Ayu Jelita’ di butik-butik kami boleh dimiliki dengan harga antara RM29 hingga RM39 sehelai, atau RM100 harga kombo bagi pembelian tiga helai sekaligus ikut citarasa pelanggan kami,” jelasnya sambil memberitahu butik ‘Ayu Jelita’ kini sudah mempunyai 15 ejen pemasaran atas talian yang\ aktif.

Sebagai usahawan yang pernah tiga kali meminjam modal di bawah PTSR, Rahayu mengaku bahawa Kerajaan Negeri hari ini begitu komited dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri Berkebajikan dan Keusahawanan.

“Bagi saya, program PTSR ini patut diteruskan (serta) diperluaskan untuk membantu para usahawan mengembangkan modal perniagaan masing-masing dengan birokrasi pinjaman dan proses bayar balik pinjaman, secara mudah.

“Bagi butik ‘Ayu Jelita’ sendiri, PTSR memang membantu mengembangkan modal perniagaan, contohnya untuk bayar kos menyewa lot komersial yang baru dibuka.

“Kalau boleh, pada masa depan, jumlah had pinjaman PTSR kali yang pertama boleh ditingkatkan daripada RM10,000 kepada RM50,000,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri hari ini.

HAKIMULLAH KHABILU, 24, pegawai pemasaran “Khabilu Penang Famous Muruku” merupakan seorang lagi usahawan muda yang mendapat pinjaman mikro kredit tanpa riba di bawah PTSR.

“Saya merupakan generasi ketiga dalam projek keusahawanan turun-temurun ini, dengan 150 jenis barang makanan dipasarkan, muruku contohnya ada enam jenis dipasarkan secara komersial, begitu juga kacang ada 10 jenis. “Khabilu Penang Famous Muruku jenama terkenal di Pulau Pinang, ditubuhkan pada tahun 1966 oleh datuk saya, dan sekarang ada lima lot kedai iaitu di Penang Road, Bukit Jambul, Komtar, Pasar Raya Sunshine Farlim dan pusat jaja terbuka Ropewalk (dekat Stadium Bandaraya).

“Walaupun RM6,000 pinjaman mikro kredit ini tidak besar, tapi bagi usahawan seperti saya jumlah itu boleh dijadikan modal perniagaan seperti untuk membayar wang pendahuluan sewa lot kedai baru,” ujarnya.

Hakimullah masih bujang dan merupakan graduan bidang teknologi pembangunan keusahawanan dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Sebagai usahawan muda, beliau berharap Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini meluluskan pinjaman mikro kredit PTSR kali pertama sehingga had maksimum RM50,000.

“Selain mendapat pinjaman mikrokredit, peserta PTSR juga berpeluang mengembangkan jaringan pemasaran masingmasing dengan menyertai ekspo-ekspo berkaitan kepentingan Kerajaan Negeri, sama ada di Pulau Pinang ataupun di negeri-negeri jiran seperti Indonesia.

“Sebenarnya, memang ada dalam perancangan saya untuk membuat penjenamaan semula (rebranding) dengan wajah baru pada plastik bungkusan, dan semua ini tentu memerlukan lebih banyak lagi modal pusingan.

“Atas sebab itu, walaupun saya difahamkan Kerajaan Negeri ada cadangan untuk menetapkan had pinjaman lanjutan kepada mereka yang mempunyai rekod bayar balik pinjaman mikrokredit adalah RM50,000, sepatutnya jumlah pinjaman mikro kredit itu patut lebih besar, RM50,000 patut adalah had pinjaman kali pertama,” syor beliau.

Seorang lagi penerima pinjaman mikrokredit PTSR adalah, HAFIZ ROSLAN, 27, iaitu ahli fisioterapi dan pengusaha Fizo Rehab Centre di Balik Pulau.

“Saya sudah lima tahun mengusaha pusat fisioterapi ini secara profesional, tapi Fizo Rehab Centre ini saya buka di Balik Pulau baru tahun lepas (2017).

“Modal, sekurang-kurangnya RM120,000 jika nak buka pusat fisioterapi yang ada kelengkapan dan selesa.

“Tapi, saya bersyukur kerana baru-baru ini turut mendapat pinjaman kali pertama (sejumlah) RM6,000,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri hari ini kerana cakna usahawan.

Beliau turut memuji birokrasi mudah dalam proses memohon pinjaman mikro kredit PTSR, kendalian PDC.

“Saya dapat pinjaman pada bulan Januari lalu, permohonan pun mudah dan proses permohonan juga cepat.

“Kalau boleh, had pinjaman mikro kredit kali pertama dipertimbangkan sehingga RM15,000, dengan jumlah pinjaman lanjutan maksimum RM50,000, kerana tujuan skim (PTSR) ini memang untuk membantu kebajikan usahawan, terutama daripada segi modal pusingan untuk mengembangkan perniagaan dan pemasaran masingmasing.

“Kalau boleh lulus pinjaman mikro kredit kali pertama maksimum RM50,000 di bawah PTSR ini, memang Pulau Pinang patut dilihat sebagai negeri Berkebajikan dan Keusahawanan,” jelasnya.