TPM80PP lulus pelbagai projek penyelenggaraan layak demi rakyat

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri di bawah program Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80% Pulau Pinang (TPM80PP) telah meluluskan pelbagai projek penyelenggaraan bagi skim perumahan yang layak sejak tahun 2013.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, sebanyak 105 projek telah diluluskan di bawah tabung berkaitan dengan peruntukan berjumlah RM18,911,346.84 juta.

Menurutnya, pelaksanaan program itu pada awalnya terhad kepada skim perumahan dengan harga tidak melebihi RM72,500, tetapi bermula Jun 2016 ia diperluas kepada skim perumahan tidak melebihi RM150,000 pada harga pembelian asal.

“Keutamaan program ini pada mulanya adalah untuk kerja-kerja penyelenggaraan kritikal seperti penyelenggaraan lif, tangki air dan penggantian serta membaik pulih bumbung, kini ia diperluas kepada penyelenggaraan lain seperti menaik taraf jalan, kerja-kerja mengecat semula dan pembaikan serta pengubahsuaian pagar.

“Dan daripada 105 projek yang diluluskan itu, sebanyak 54 projek adalah melibatkan penyelenggaraan lif, pengubahsuaian dan penggantian tangki air (28), pembaikian dan penggantian bumbung (7), manakala 16 lagi adalah untuk penyelenggaraan lain seperti mengecat semula, naik taraf jalan dan pengubahsuaian pagar serta dinding,” katanya pada sidang media sempena lawatannya ke Greenlane Heights dekat Jalan Gangsa di sini 1 Februari lalu.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima R.S.N. Rayer dan Pengerusi Badan Pengerusan Bersama (JMB) Block K Greenlane Heights, Nelson Neoh.

Dalam pada itu, Jagdeep turut mengumumkan kelulusan untuk kerja menaik taraf lima unit lif di Blok K Greenlane Heights melibatkan peruntukan berjumlah RM343,440.

“Kerajaan Pulau Pinang akan menyumbangkan 60 peratus (RM206,064), manakala penduduk menanggung kos 40 peratus (RM137,376) lagi,” ujarnya yang juga ADUN Datuk Keramat.

Jagdeep dalam pada itu menegaskan, Kerajaan Negeri bukan hanya akan terus menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat di negeri ini, malah juga melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan bagi skim perumahan yang layak.

“Ini kerana Kerajaan Persekutuan telah gagal mengeluarkan rakyat daripada masalah ini di bawah projek penyelenggaraan TP1M (Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia), sebaliknya Kerajaan Negeri telah berjaya melaksanakannya,” jelas beliau.