Pulau Aman diiktiraf sebagai salah satu produk ekopelancongan negeri – Ketua Menteri

BUKIT TAMBUN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengiktiraf Pulau Aman sebagai satu lagi produk ekopelancongan menarik di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Pulau Aman juga perlu menikmati limpahan ekonomi kerana mempunyai keunikan serta tarikan tersendiri seperti makanan, tempat bersejarah dan sebagainya yang masih kekal sehingga kini.

Simulasi operasi menyelamat di laut oleh Angkatan Pertahanan Awam dan Polis Marin.

“Bagi memperkenalkan lagi Pulau Aman kepada pelancong tempatan serta luar negara, Kerajaan Negeri telah menganjurkan Fiesta Pulau Aman pada tahun lalu dan menjadikannya sebagai acara tahunan.

“Lebih penting lagi, acara ini juga dimasukkan di dalam kalendar pelancongan Pulau Pinang yang menjadi rujukan utama para pelancong bagi merancang kunjungan mereka ke negeri ini.

“Justeru, saya berharap agar Pejabat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) sebagai jentera kerajaan dapat memainkan peranan dan menggembleng tenaga dengan mengadakan kolaborasi bersama-sama penduduk, badan bukan kerajaan (NGO) serta pengusaha-pengusaha di Pulau Aman supaya ekonomi setempat dapat dimajukan.

“Inilah hasrat Kerajaan Negeri supaya masyarakat dapat menikmati hasil pembangunan, meningkatkan pendapatan serta menjadikan tempat kediaman atau kampung halaman sebagai ruang untuk menjana aktiviti ekonomi,” ucapnya pada majlis penutup Fiesta Pulau Aman di sini sebentar tadi.

Chow Kon Yeow bersama barisan pimpinan Kerajaan Negeri dan tetamu jemputan khas merasai kuih kapit yang dihasilkan penduduk Pulau Aman secara tradisional.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADUN Sungai Bakap, Dr. Amar Pritpal Abdullah; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani serta Pegawai Daerah SPS, Yazman Yahya.

Difahamkan, Fiesta Pulau Aman pada tahun ini diajurkan bersama oleh Pejabat Daerah dan Tanah SPS dan Pusat Khidmat ADUN Bukit Tambun serta rakan-rakan strategik.

Pelbagai acara menarik turut diadakan sepanjang program berlangsung seperti Simulasi Operasi Menyelamat di Laut oleh Angkatan Pertahanan Awam dan Polis Marin, jungle tracking, perkhemahan, sukan rakyat, pameran oleh agensi-agensi kerajaan serta banyak lagi.

Pulut udang antara juadah istimewa di Pulau Aman.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa berdasarkan Kajian Pelancongan Pulau Pinang 2018 oleh Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati bahawa purata perbelanjaan bagi setiap pelancong ke negeri ini adalah sebanyak RM934.88 dengan tempoh penginapan selama 4.86 malam.

“Data ini menarik dan wajar dijadikan asas kepada strategi peningkatan perkhidmatan dalam produk pelancongan selaras dengan Visi Penang2030 yang turut memberikan keutamaan terhadap sektor ini,” ujarnya.

Mesin EFWC ditempatkan di Pulau Aman bagi membolehkan sisa makanan diproses menjadi kompos untuk digunakan sebagainbaja pokok.

Dalam pada itu, Choon Aik dalam ucapannya sebelum itu menyeru kepada semua pihak supaya sentiasa memastikan Pulau Aman sentiasa bersih serta indah bagi menarik lebih ramai kehadiran pelancong dari seantero dunia.

“Oleh itu, sebuah mesin Economical Food Waste Composter (EFWC) yang diusahakan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dengan kerjasama USM telah ditempatkan di sini bagi memastikan kebersihan kawasan ini kekal terjaga,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD