Pulau Pinang amalkan pendekatan seimbang antara faktor kesihatan dan ekonomi – Ketua Menteri

Admin

DATUK KERAMAT – Pembukaan keseluruhan sektor ekonomi secara berperingkat di Pulau Pinang merupakan satu cabaran, namun semua pihak diseru agar terus kekal berwaspada.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri mengamalkan pendekatan seimbang di antara kesihatan dan ekonomi dengan melaksanakannya secara beransur-ansur.

“Selalunya kita (Pulau Pinang) ‘lambat’ daripada (Kerajaan) Pusat, apabila Pusat mengumumkan sesuatu, kita akan ambil sedikit masa untuk meneliti serta memutuskan bagaimana dapat melaksanakannya juga di peringkat negeri.

“Lebih baik kita perlahan beberapa langkah untuk melonggarkan syarat-syarat yang diputuskan, tetapi lebih cepat bertindak dalam memperketatkan syarat-syarat prosedur operasi standard (SOP) tersebut,” ujarnya pada sesi temu bual langsung bersama-sama kakitangan Klinik Kesihatan Daerah Timur Laut (DTL) di sini sebentar tadi.

Kon Yeow sebelum itu meluangkan masa menziarahi kakitangan barisan hadapan di Klinik Kesihatan Jalan Perak dan pada kesempatan itu, beliau turut mengagihkan buah tangan berbentuk paket kurma kepada kakitangan klinik berkenaan.

Ketibaan beliau disambut Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr. Asmayani Khalid dan Dr. Azizah Ab. Manan (Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pegawai Kesihatan DTL).

Menyedari akan sumbangan dan pengorbanan besar petugas barisan hadapan dalam melawan wabak COVID-19 sejak Disember 2019, Kon Yeow buat sekian kalinya menzahirkan ucapan ribuan terima kasih kepada wira-wira tersebut.

Menurut beliau, meskipun tempoh menangani wabak COVID-19 adalah satu tempoh paling mencabar, namun pengorbanan tersebut membuahkan hasil apabila Pulau Pinang kini diklasifikasikan sebagai negeri zon Hijau.

“Cabaran lebih besar adalah untuk kita kekalkan zon (Hijau) ini, kita harus terus berwaspada, teruskan apa yang sudah dilakukan dan pastikan pematuhan semua SOP ditetapkan.

“Lebih-lebih lagi esok (15 Mei 2020), kebenaran untuk makan di premis telah diberikan khususnya untuk hotel, pusat membeli-belah dan juga rantaian francais makanan segera,” ulasnya.

Dalam pada itu, Azizah dalam ucapannya sempat berkongsi pengalaman kakitangan kesihatan di Klinik Kesihatan DTL sepanjang menangani wabak COVID-19.

“Semua kakitangan memberikan komitmen cukup tinggi sepanjang mengawal wabak yang mana pada fasa permulaan, kami terpaksa berkampung di sini (klinik) sehingga 12 tengah malam, malah ada juga kakitangan yang kadang-kadang terpaksa tidur di pusat kuarantin sementara menunggu pemindahan pesakit ke wad,” jelasnya sambil mengucapkan terima kasih di atas sokongan tidak terhingga oleh Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri dalam bersama-sama menghadapi wabak pandemik berkenaan.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI