Pulau Pinang bangunkan 19 projek demonstrasi 5G libatkan kos RM23.2 juta

Admin

GEORGE TOWN – Pulau Pinang mula membangunkan 19 projek demonstrasi 5G membabitkan peruntukan berjumlah RM23.2 juta melalui kerjasama dengan tujuh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) negara.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari berkata, kos bagi pelaksanaan projek-projek berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh tujuh syarikat telco berkaitan.

“Projek-projek ini melibatkan kes kegunaan kerana rangkaian 5G adalah teknologi baru.

Zairil Khir Johari (tengah) semasa mengadakan sidang media selepas merasmikan Sesi Taklimat Infrastruktur Telekomunikasi di Komtar, pagi ini.

“Tujuan kita laksanakan kes kegunaan adalah untuk membuktikan penggunaan 5G dalam sektor-sektor yang mempunyai unsur-unsur komersial seperti peningkatan pengeluaran dan perubatan.

“Di Pulau Pinang kita telah memilih tiga industri yang boleh memanfaatkan 5G iaitu bandar pintar, perindustrian dan pelancongan,” jelasnya pada sidang media selepas merasmikan Sesi Taklimat Infrastruktur Telekomunikasi di Komtar, pagi ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Kerajaan Tempatan, Nur ‘Aishah Md. Norodin dan Ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Prof. Dr. Tharek Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Zairil menjelaskan bahawa sesebuah syarikat telco yang ingin melabur dalam infrastruktur 5G akan memastikan mereka mendapat pulangan pelaburan menerusi kes-kes kegunaan tersebut.

“Kita mahu pastikan Pulau Pinang bersedia untuk 5G sebelum September kerana kita akan menjadi tuan rumah bagi World Congress on Information Technology (WCIT) 2020,” katanya lagi.

Difahamkan, 19 projek berkenaan akan dilaksanakan melalui kolaborasi antara Celcom Axiata Berhad, U Mobile Sdn. Bhd., Digi Telecommunications Sdn. Bhd., YTL Communications Sdn. Bhd., Maxis Broadband Sdn. Bhd., Telekom Malaysia Berhad dan edotco Malaysia Sdn. Bhd. dengan agensi-agensi kerajaan seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Malaysia Airport Holding Berhad, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Prasarana Malaysia Berhad serta Perbadanan Bukit Bendera.

Selain itu, terdapat juga projek yang dilaksanakan dengan kerjasama kilang-kilang seperti Clarion Sdn. Bhd., Intel Technology dan Hotayi Electronic Sdn. Bhd..

Tambah Zairil lagi, Kerajaan Negeri juga sedang merangka Pelan Induk Kesalinghubungan Pulau Pinang (PCMP) untuk memastikan penyediaan liputan melalui rangkaian fiber kepada semua lapisan masyarakat di negeri ini.

“Untuk memastikan gentian dipasang di setiap rumah adalah mahal, jadi Kerajaan Negeri perlu melihat cara lain untuk memperkenalkan sambungan gentian optik seperti memasang kabel gentian melalui sistem perparitan dan aerial.

“Kami melakukan beberapa projek perintis di Minden Heights dan Butterworth yang mana kita dapati ia adalah salah satu cara dengan kos lebih efektif untuk menyediakan rangkaian fiber kepada rakyat dengan lebih pantas.

“Walau bagaimanapun, kita perlu lakukan ini dalam persekitaran yang terkawal, tampil dengan garis panduan dan pastikan ia tidak mengganggu pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD