Pulau Pinang bergerak ke arah ‘Strategi Next Normal’

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang merangka strategi khas bagi memastikan usahawan-usahawan di negeri ini yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dapat meneruskan perniagaan masing-masing khususnya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, strategi berkenaan adalah sebahagian daripada ‘Strategi Next Normal Pulau Pinang’ yang bakal diumumkan untuk menilai keadaan serta membuat persiapan bagi memulihkan urusan seharian di negeri ini.

“Dalam PKP Fasa 1 dan 2, Kerajaan Negeri mengutamakan kesihatan serta keselamatan penduduk negeri ini, namun kita juga sedar bahawa kita tidak boleh berada di dalam krisis untuk selama-lamanya.

“Justeru, Kerajaan Negeri bakal memberikan tumpuan bagi memastikan para usahawan kita mampu bangkit dan meneruskan perusahaan serta perniagaan mereka,” katanya ketika ucapan siaran langsung menerusi laman Facebook peribadi beliau di Komtar sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa kajian oleh badan pemikir, Penang Institute mendapati bahawa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi sektor perkhidmatan merupakan kumpulan paling terjejas akibat krisis COVID-19.

Menurut beliau, kenyataan itu adalah berdasarkan analisis yang dijalankan terhadap 46 jenis perniagaan kategori PKS membabitkan empat sektor iaitu pertanian, pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan.

“(Dan) sekiranya peratusan kebangsaan boleh diguna pakai sebagai garis panduan, maka dalam sektor perkhidmatan ini dalam kalangan PKS, usahawan mikro merupakan jumlah yang paling ramai terjejas.

“Pendedahan risiko ekonomi akibat COVID-19 seperti pemberhentian operasi, penurunan perniagaan, kesukaran mendapat kredit serta lain-lain ditambah pula dengan sumber yang terhad secara tidak langsung meletakkan kumpulan ini (mikro) sebagai golongan paling terkesan ekoran krisis ini,” jelasnya.

Difahamkan, PKS memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi Pulau Pinang yang mana kira-kira 99 peratus perniagaan di negeri ini adalah dalam kategori berkenaan dengan nilai tambah ekonomi berjumlah RM30 bilion dan turut menyediakan lebih 400,000 peluang pekerjaan.

Justeru, Kon Yeow memberitahu bahawa selain memperkenalkan Skim Peka PKS, Kerajaan Negeri juga menggesa agar lebih banyak PKS bergerak ke arah pendigitalan memandangkan pelaksanaan kaedah tersebut masih lagi rendah di negeri ini iaitu kira-kira 37.9 peratus.

“Contohnya, menerusi kempen Jom Beli Online yang dilancarkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) baru-baru ini, saya dimaklumkan bahawa para peniaga yang mengambil bahagian telah merekodkan peningkatan hasil jualan mereka.

“Malah, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) juga menyediakan platform e- Bazar Ramadhan yang bakal dilancarkan pada Selasa ini iaitu 14 April ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa Pulau Pinang mampu mengawal perebakan wabak COVID-19 dalam tempoh PKP setakat ini tanpa merekodkan sebarang kluster baru.

“Pulau Pinang juga mempunyai kes per 100,000 penduduk yang kedua paling rendah di negara ini selepas negeri Kedah,” ulas Kon Yeow.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar & video : LAW SUUN TING