Pemantauan berkala, ujian teknikal pastikan kualiti projek jalan raya di Pantai Jerejak terjamin

Admin
screenshot Screenshot

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melaksanakan pemantauan berkala serta ujian teknikal bagi memastikan kerja-kerja penaiktarafan, penurapan semula dan pemulihan infrastruktur jalan raya di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pantai Jerejak memenuhi piawaian ditetapkan.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata demikian ketika menjawab Soalan Lisan berkaitan taburan peruntukan fiskal serta siling kelulusan bagi KADUN Pantai Jerejak pada persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di sini sebentar tadi.

Menurut beliau, bagi tempoh lima tahun bermula 2021 hingga 2025, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kerja Raya Pulau Pinang (JKRPP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah menyalurkan jutaan ringgit bagi melaksanakan kerja-kerja berkaitan infrastruktur jalan raya di kawasan tersebut.

“Secara ringkasnya, jumlah peruntukan untuk kerja-kerja penaiktarafan, penurapan semula dan pemulihan infrastruktur jalan raya di KADUN Pantai Jerejak bagi tahun 2021 adalah sebanyak RM1.69 juta, manakala 2022 (RM2.45 juta).

“Bagi tahun 2023 pula, sebanyak RM4.13 juta diperuntukkan diikuti 2024 (RM2.52 juta) dan 2025 (RM3.27 juta),” jelasnya.

Mengulas lanjut, Zairil menyatakan bahawa Kerajaan Negeri menggunakan kaedah pemantauan berdasarkan jadual kerja aktiviti utama atau Critical Path Method (CPM) yang dikemukakan oleh kontraktor bagi memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan.

“Pihak kontraktor juga dikehendaki menyediakan laporan kemajuan kerja secara bulanan merangkumi gambar semasa di tapak, ringkasan aktiviti yang telah selesai, sedang berjalan dan belum bermula.

“Selain itu, laporan kewangan serta isu semasa di tapak seperti perubahan skop kerja, kelewatan bekalan, masalah tanah dan aduan awam turut dikemukakan dalam laporan berkenaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zairil turut memaklumkan bahawa pemantauan kualiti kerja dilaksanakan secara ketat dengan memastikan pihak kontraktor mematuhi spesifikasi bahan dan kerja sebagaimana ditetapkan dalam kontrak serta bil kuantiti (Bill of Quantities, BQ).

“Antara ujian yang dijalankan termasuk ujian teras (coring test) bagi menilai ketebalan turapan konkrit asfalt, ujian nisbah galas California (California Bearing Ratio Test atau CBR) untuk menguji kekuatan bahan asas jalan serta ujian Marshall bagi menguji komposisi campuran asfalt dan bitumen.

“Selain itu, ujian kekuatan mampatan kiub konkrit dan ujian campuran percubaan (trial mix test) turut dilaksanakan bagi memastikan mutu pembinaan berada pada tahap terbaik.

“Malah, bagi memastikan tuntutan pembayaran adalah selaras dengan kerja sebenar di tapak, sesi pengukuran bersama (joint measurement) bersama kontraktor turut dilaksanakan sebelum sebarang bayaran diluluskan,” tambahnya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : LAW SUUN TING & SIEW CHIA EN