Pulau Pinang capai 70 peratus suntikan dos pertama

BUKIT TAMBUN – Pulau Pinang telah mencapai 70 peratus suntikan vaksin dos pertama bagi populasi dewasa di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat hari ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa baki 30 peratus lagi suntikan dos pertama dianggarkan selesai sepenuhnya menjelang awal September ini.

Beliau berkata, suntikan bagi dos kedua pula telah mencapai 36 peratus setakat hari ini dan dijangka mencecah 40 peratus pada minggu depan.

Ketua Menteri menyantuni penerima vaksin ketika hadir meninjau operasi PPV bergerak dekat SJKC Keng Koon sebentar tadi.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan pastikan program PICK ini berjalan dengan lancar sebab kita mahu memberikan perlindungan kepada rakyat di negeri ini dalam kadar yang segera.

“Hal ini kerana, kes jangkitan di Pulau Pinang mencatatkan peningkatan dan mengikut Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), jumlah ini akan berlanjutan dalam tempoh satu atau dua minggu lagi sebelum kita dapat melihat penurunan semula kes.

“Selain itu, kita juga mahu menghabiskan program PICK secepat mungkin supaya tenaga kerja yang mengendalikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dapat kembali bertugas sama ada di hospital atau klinik bagi melawan penularan COVID-19,” katanya pada sidang media selepas meninjau operasi PPV bergerak dekat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Keng Koon di sini sebentar tadi.

Warga emas dan OKU antara yang diberikan keutamaan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Mengulas mengenai program PPV bergerak, Kon Yeow berkata inisiatif tersebut dilaksanakan bagi memastikan golongan sasaran diberi suntikan vaksin secepat mungkin.

Difahamkan, seramai 300 orang yang berumur 50 tahun ke atas, ibu dan bapa tunggal serta golongan orang kurang upaya (OKU) akan menerima suntikan dekat PPV di bawah program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu bahawa empat buah PPV di negeri ini terpaksa ditutup selama sehari (15 Ogos 2021) berikutan masalah kekurangan bekalan vaksin Pfizer-BioNTech (Pfizer) sejak 12 Ogos lalu.

Proses pendaftaran berjalan lancar.

“Justeru, orang awam yang sepatutnya terima suntikan dos kedua telah ditangguhkan seketika, dan saya menyeru kepada mereka yang terlibat supaya sentiasa menyemak tarikh baru melalui MySejahtera,” ulasnya.

Terdahulu, JKNPP memaklumkan bahawa empat PPV yang terlibat ialah Kompleks Sukan Balik Pulau, Barat Daya; Dewan Balai Rakyat Bayan Baru, Barat Daya; Tapak Pesta, Timur Laut serta Dewan Milenium, Seberang Perai Utara.

“Kesemua PPV ini akan beroperasi semula pada 16 Ogos 2021.

“Oleh itu, penerima dos kedua vaksin Pfizer yang telah dijadualkan pada 15 hingga 19 Ogos 2021 akan dipinda kepada 22 hingga 26 Ogos 2021,” kata JKNPP dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD